Saturday, July 4, 2009

HUJAH PENGGULUNGAN CERAI FASAKH

HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF

 1. Plaintif memohon perceraian secara Fasakh di bawah Seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984.

 2. Pada 03hb Disember 2008 Plaintif melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates. Plaintif telah memfailkan permohonan tersebut melalui Peguam Syarie Plaintif pada tarikh yang sama 03hb Disember 2008 dan semasa perbicaraan Defendan tidak pernah hadir sepanjang kes di Mahkamah .



 3. Pada 18hb Disember 2008 sebutan pertama dan setelah prosiding penyampaian disempurnakan serta prosiding semuanya telah lengkap. Maka pada 15hb Januari 2009, Plaintif pada hari tersebut telah memberi keterangan dengan tanpa kehadiran Defendan, Kemudian pada hari perbicaraan yang lain iaitu pada 16hb Februari 2009 , kes diteruskan dengan keterangan seorang saksi Plaintif iaitu En. Salbiah Bt Wasidin [SP-1], merupakan kakak ipar Plaintif dan juga dengan keterangan saksi kedua Plaintif iaitu En. Mohd Amin Al-Hussaini Bin Shaari [SP-2] berhubungan sebagai Abang Plaintif

 4. Kes ditetapkan untuk keputusan. ULASAN 

 1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang dipetik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :- Maksud: “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).” 

 2. Plaintif sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil. 

 3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati). 
 4. Dalam Seksyen 3 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984 , “keterangan” termasuklah :- (a) bayyinah dan syahadah, (b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ; (c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar). 

 5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan. 

 6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya. 

 7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara bayyinah, syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar. 

 8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :- (a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini. (b) Samada wujud atau tidak Defendan telah cuai memperuntukkan nafkah zahir dengan sewajarnya. (c) Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita. (d) Wujud perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan. Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes. 

9. Dari sudut undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini. Permohonan Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2, 4 dan 50, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984. 

 10. Plaintif adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah ini. Plaintif tinggal di No .1-3-4 Jalan 5/149B, Taman Sri Endah, Seri Petaling , 5700 Kuala Lumpur . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Kad Pengenalan Plaintif yang ditandakan sebagai P-1 Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 2 - [P - 1]

 11. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu. 

12. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada. 

 13. Plaintif dan Defendan juga telah berkahwin menurut Hukum Syara’. Mereka telah di akad nikahkan pada 22hb Februari 1992 di Parit, Perak dan telah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Parit , Perak Darul Ridzuan dengan berwalikan Ayah Kandung Plaintif serta disaksikan oleh dua (2) orang saksi lelaki. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Surat Perakuan Nikah Bil 6/92 dengan No 011763 yang ditandakan sebagai P-2. 

 Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P – 2] 14. Walaupun tanpa kehadiran Defendan, kuasa ekslusif telah diberikan oleh undang-undang kepada Mahkamah untuk membicarakan sesuatu kes, dengan syarat penyampaian yang wajar telah dilaksanakan. Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :- - Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran- (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya; 15. Sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berjalan, kes ini telah berjalan berperingkat untuk keterangan Plaintif dan saksi-saksi. 

Tangguhan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Defendan untuk hadir bagi menjawab tuntutan Plaintif. Walaubagaimanapun, sepanjang tempoh sebutan sehingga perbicaraan, Defendan tidak pernah hadir.  
16. Maka dari segi undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini, walaupun tanpa kehadiran Defendan. Isu Kedua : Samada wujud atau tidak Defenden telah abai memberikan nafkah zahir sewajarnya kepada (Plaintif) 

 a. Dalam kes ini, Plaintif hanya mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan tiada memberi nafkah selama tiga (3) bulan atau lebih lamanya. 

 17. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :- a. Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya. 

 18. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi . a. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah mengabaikan dengan pemberian nafkah zahir sejak Defendan mengalami satu kemalangan jalan raya pada bulan Januari 2008. Selepas Defendan sihat daripada kecederaan pada bulan April 2008 Defendan terus tidak bekerja. Defendan langsung tidak mahu bekerja walaupun Defendan telah sihat sepernuhnya menyebabkan Plaintif terpaksa menyara keluarga. b. Dengan Pendapatan Plaintif sebagai Perlukis Pelan di Syarikat Juru Ukur Perunding , No 116, Jalan Radin Anum, Sri Petaling, Kuala Lumpur. c. Dengan pendapatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk menampung kehidupan Plaintif dan anak-anak. d. Plaintif juga menanggung semua perbelanjaan dan keperluan rumah. Plaintif juga terpaksa membayar sewa rumah, bil elektrik, air dan keperluan anak tanpa sedikitpun dibantu oleh Defendan. e. Sepanjang tempoh itu juga, tiada nafkah dari Defendan atau wakil atau keluarga Defendan memberi nafkah kepada Plaintif. f. Plaintif juga tepaksa meminjam dan meminta bantuan daripada Abang Plaintif iaitu SP-2 apabila mengalami masalah kewangan. g. Fakta-fakta ini telah disokong oleh saksi-saksi Plaintif SP-1 dan SP-2 iaitu hubungan sebagai Kakak Ipar dan Abang kandung. Plaintif mengakui semua keterangan itu adalah benar. Sejak kemalangan tersebut Defendan tidak bekerja dan Defendan langsung tidak menyediakan nafkah dan wang perbelanjaan kepada Plaintif. Keterangan ini sokong oleh keterangan SP-1 dan SP-2 . h. SP-1 dan SP-2 pula mengakui kesemua perbelanjaan Plaintif adalah ditanggung oleh hasil duit gaji Plaintif sendiri. i. SP-2 juga sering membantu Plaintif dalam urusan rumah tangga mereka dan memberikan pertolongan kewangan mahupun bantuan lain apabila Plaintif mengalami masalah kewangan dan sebagainya. j. Plaintif juga menyatakan bahawa bebanan kewangan serta tanggungjawab keluarga ditanggung oleh Plaintif seorang sahaja. k. Meletakkan kesemua tanggungjawab di bahu Plaintif, SP-1 dan SP-2 pula mengakui Defendan tidak mahu bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami. 

 19. Beban pembuktian terhadap dakwaan berhubung dengan nafkah menjadi tanggungan ke atas suami (Defendan) untuk membuktikannya tetapi Defendan tidak hadir untuk menafikannya. 

 20. Mahkamah boleh berbalik kepada qaedah fiqh yang berbunyi:- Maksud : “Asal sesuatu itu tidak ada”. 

 21. Maksud kaedah ini, asal sesuatu itu tidak ada, atau tidak wujud jika tidak dibuktikan sebaliknya. Ini adalah satu anggapan yang boleh ditolak dengan cara dibuktikan sebaliknya. 

 22. Dalam persoalan ini, asalnya nafkah oleh Defendan disifatkan tidak diberi, melainkan Defendan membuktikan dia ada memberi nafkah. Defendan tidak hadir untuk membuktikan bahawa dia ada memberi nafkah kepada Plaintif.

 23. Dalam kes ini, kedua-dua saksi konsisten menyatakan bahawa tidak ada wakil Defendan memberi nafkah kepada Plaintif. Isu Ketiga : Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita a. Dalam kes ini, Plaintif mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita . 

 24. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :- a. Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita . 

 25. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi . a. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah menyakiti dan menjadikan hidup Plaintif menderita. Defendan juga sering memaki hamun serta sering berlaku pergaduhan di antara Plaintif dan Defendan. b. Pada 03hb September 2008 Defendan telah bertindak menampar muka Plaintif sebanyak empat ke lima kali semasa berada di dalam kereta tanpa rasa kasihan . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Laporan polis Plaintif yang ditandakan sebagai P-3 . Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P –3] 26. SP-1 dan SP-2 pula mengakui bahawa sering Plaintif menceritakan keadaaan Plaintif yang sering dipukul oleh Defendan. SP-1 dan SP-2 ada melihat kecederaan yang dialami oleh Plaintif dan SP-2 sering berjumpa dan menasihati Defendan apabila berlaku pergaduhan antara Plaintif dan Defendan. 

 27. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi . Isu Keempat : Wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan . 

 28. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan a. Perkahwinan di antara Plaintif dan Defendan sering berlaku pertelingkahan dan pergaduhan. Defendan sering gagal memberikan nafkah zahir serta memenuhi keperluan dalam rumahtangga. Defendan juga sering memukul dan menyakiti Plaintif dan menjadikan hidup Plaintif menderita. Defendan juga sering memaki hamun serta sering berlaku pergaduhan di antara Plaintif dan Defendan sehingga rumah tangga tidak boleh diselamatkan lagi. 

 29. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi . 

 30. Plaintif juga tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah yang menghilangkan kelayakannya untuk mendapat nafkah zahir daripada Defendan. Ini disokong oleh keterangan kesemua saksi-saksi Plaintif . 

 31. Jadi, jelaslah bahawa persoalan sama ada benar Defendan gagal mengadakan peruntukan nafkah zahir selama tempoh tiga (3) bulan dan Isu Kedua : Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita serta wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif. Dengan demikian jelas terjawab dengan dokumen serta keterangan Plaintif dan saksi-saksinya. 

 32. Kami menghujahkan bahawa keterangan SP-1 dan SP-2 merupakan syahadah yang mencapai tahap yakin sebagaimana dalam kaedah pembuktian Islam. Saksi-saksi ini melihat dan menyaksikan sendiri keadaan Plaintif. 33. Kedua-dua saksi telah memberikan keterangan terhadap Defendan bagi membuktikan pengsabitan terhadap alasan tersebut . 

 34. Tidak ada percanggahan fakta antara dakwaan Plaintif dan keterangan kedua-dua saksi ini. Dan sewajarnya Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi ini sebagai syahadah dan bayyinah. 

 35. Keterangan Plaintif serta keterangan saksi-saksi Plaintif membuktikan kepada Mahkamah bahawa Defendan telah gagal memberi nafkah . 36. 

KESIMPULAN 

 1. Hukum Syara’ dan Undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan suami isteri berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah di sisi Hukum Syara’. 

 2. Antara alasannya ialah apabila suami tidak memberi nafkah yang wajib kepada isteri untuk suatu tempoh tertentu. 3. Rasulullah S.A.W ada bersabda dalam kitab Subul al-Salam juzuk 4, bab talaq, sabdanya: “ Berkenaan seorang lelaki yang tidak mengadakan peruntukan nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan di antara keduanya.” 

 4. Fahaman daripada hadith tersebut bahawa seorang lelaki yang tidak memperuntukkan nafkah sama ada disebabkan kesukaran atau dengan sebab keingkarannya, bolehlah dipisahkan. 

 5. Manakala di dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa, Yang Arif Hakim Abu Bakar ada mengatakan:- “Tidak memberi nafkah atau tidak mengadakan nafkah kepada isteri boleh menjadi kesukaran dan kesusahan dalam meneruskan hidup kerana nafkah adalah keperluan asas untuk hidup di mana mengikut Qawaid al-Fiqhiyyah bermaksud: “Kemudaratan diharuskan (dibolehkan) perkara yang ditegah. Ini bermaksud cerai adalah perkara yang sangat dibenci oleh Allah tetapi dihalalkan dengan tujuan menolak perkara yang lebih berat dengan tiada dapat dilaksanakan kewajipan dan tugas suami isteri dalam rumahtangga.” 

 6. Di dalam kes Hairun bt. Mohd. Sharif lwn Omar bin Mohd. Noor, Jawatankuasa Rayuan menyatakan bahawa:- “Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana dianiaya atau darar ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dirar terhadap tubuh badan sahaja malahan lebih luas dari itu........”.

 7. Begitu juga di dalam kes Hasnah binti Omar lwn Zaabar bin Mohd Amin, Yang Arif Hakim Dato’ Ismail menyatakan pembubaran perkahwinan secara fasakh adalah dibolehkan: “ Bahawa suami menganiaya isteri atau antara lain lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupan isteri itu menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya suami. Selain dari itu Mahkamah telah diberi kuasa memerintahkan fasakh berdasarkan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi pembubaran itu.”

 8. Dakwaan Plaintif berhubung Defendan tidak memberi nafkah selama tempoh melebihi tiga (3) bulan serta Defendan lazim menyakiti tubuh badan (fizikal dan mental) Plaintif serta wujudnya perbalahan di antara Plaintif dan Defendan dapat dibuktikan. Defendan sepanjang perbicaraan tidak hadir untuk menafikan tuntutan Plaintif tersebut. 

 9. Defendan telah diberi hak untuk membela diri dan membuat pembelaan tetapi Defendan tidak menggunakan hak yang diberi oleh undang-undang dan Hukum Syara’. Jadi Mahkamah boleh memutuskan walaupun tanpa kehadiran Defendan. 

 10. Ini bertepatan dengan Seksyen 121 (1) (b) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984 memperuntukkan:- S.121 (1) Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran – (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya; 

 11. Merujuk kepada peruntukan di bawah 121(2) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah persekutuan ) 1984 menjelaskan bahawa” “Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apap-apa penghakiman mengenai tuntutan Plaintif di bawah perenggan (1) (B) atau tuntutan balas Defendan di bawah perengan (1) (c) mengarahkan Plaintif atau Defendan, mengikut mana-mana yang berkenaan mengangkat sumpah istizhar”. Dalam kes ini Mahkamah berdasarkan kepada peruntukan di bawah seksyen ini wajar mengarahkan Plaintif untuk melakukan Yamin istizhar. 

 12. Daripada keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan saksi-saksi Plaintif, dokumen-dokumen yang dikemukakan, dan prosedur-prosedur yang telah dijalankan dan disempurnakan, jelas membuktikan bahawa berlaku perkara-perkara sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif. Dan Mahkamah boleh menfasakhkan pernikahan antara Plaintif dan Defendan.

 13. Maka berdasarkan kepada keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen yang dikemukakan, maka sayugialah Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif sebagaimana yang dipohon.

3 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Saya ingin bertanya... sy ingin mohon cerai fasakh kerana suami saya seorg penagih dadah dan telah dibuang dari perkhidmatan. Suami saya juga tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dan suami hampir satu tahun dan sering meminta wang dari saya.. Apakah dengan ini saya boleh memohon fasakh..

    ReplyDelete
  2. -Si Isteri Boleh memohon cerai fasakh Sekiranyer Si Suami MengabaiKan Si isteri..

    -Sekiranyer Pulak Si ISteri Mengabaikan Si Suami Yg Sedang Sakit Sarat..Si Suami Tinggal Di Kajang Bersama Sedara Dan Si isteri Tingal Di tanjung malim Bersama Kawan..

    -Pertanyaan Saya Jatuh Ker Cerai Fasakh terhadap Si Suami??
    Adakah Si Suami Patut Bagi Nafkah Terhadap Si isteri?Atau Sebaliknyer...

    Sila Email Ker --Aoi_Noname@yahoo.com

    ReplyDelete
  3. Slm.. suami saya telah membebankan hidup saya dengan hutang..smua masalah kwangan dibawah tjwp saya.Bil,kreta,mtosikal,kad kdt semua saya yg tanggung.Malah wang simpanan saya habis di ambil oleh suami tanpa pengetahuan saya. Adakah saya layak untuk memohon cerai fasakh?

    ReplyDelete