Saturday, July 4, 2009

HUJAHAN PENGGULUNGAN PENGESAHAN RUJUK

HUJAH PENGGULUNGAN PEMOHON KRONOLOGI 1. Pemohon telah mengemukakan permohonan secara sendiri melalui peruntukan Seksyen 51 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu untuk mengesahkan rujuk .
2. Pemohon telah melafazkan Wakalah Perlantikan Peguam Syarienya En Nahar Bin Alias daripada Tetuan Nahar & Associates manakala Defendan melantik Peguam Syarie En Othman Bin Mohd Salleh dari Tetuan MK OTHMAN & CO. 3. Pada tarikh 30hb April 2009 . Pihak Responden telah memasukkan Penyataan Pembelaan kepada Mahkamah. Kes sebutan telah dimulakan serta diteruskan perbicaraan dengan dimulakan keterangan Pemohon serta Responden pada tarikh yang berlainan . 4. Kes telah ditetapkan untuk keputusan. ULASAN 1. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :- (a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini. (b) Dakwaan berkenaan dengan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan antara Responden dengan Pemohon. Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes. 1. Merujuk kes ini dari sudut undang-undang, bahawa Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidangkuasa untuk mendengar kes ini kerana ia telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2,4 dan 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. 2. Pemohon adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar serta alamat yang tertera di kad pengenalan Pemohon yang secara jelas menunjukkan bahawa pihak Pemohon tinggal di dalam Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian, Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan yang 3. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu. 4. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada. Isu Kedua : Dakwaan berkenaan dengan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan antara Defendan dengan Plaintif. 1. Pemohon mengemukakan adanya perlaku persetubuhan antara Pemohon dan Responden. 1.1) “ Pada 22hb Mac 2009, bekas suami telah datang ke rumah dan juga pada tarikh 23hb Mac 2009 telah bermalam selama 2 hari dan telah melakukan persetubuhan sebanyak 2 kali, semasa itu saya sudah dua kali suci iaitu suci pertama 08hb Februari 2009 dan suci kali kedua 08hb Mac 2009 ". 1.2) Berkenaan persetubuhan tersebut, Responden dalam Pembelaannya mengaku melakukan persetubuhan bersama Pemohon hanya sekali iaitu pada 22hb Mac 2009. 2. Pemohon dalam pengakuan bersumpah mengakui telah berlaku persetubuhan sebanyak dua kali sebagaimana tarikh tersebut, namun berdasarkan pengakuan Responden di dalam keterangan bersumpah di hadapan Mahkamah bahawa beliau mengakui melakukan persetubuhan hanya sekali. 3. Responden juga dalam keterangan bersumpah di Mahkamah menyatakan bahawa Responden melakukan persetubuhan dengan Pemohon dan persetubuhan tersebut tiada langsung niat untuk merujuk kepada Pemohon. 4. Responden menafikan kesemuanya akan wujudkan niat untuk merujuk secara perbuatan terhadap Pemohon , walaupun persetubuhan berlaku antara Pemohon dan Responden. ULASAN 1. Doktrin perundangan Islam telah menetapkan suatu asas panduan dalam mensabitkan sesuatu kes di Mahkamah iaitu :- Maksud :“Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan). 2. Dalam kes ini, Pemohon sebagai pihak yang mengemukakan permohonan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga sampai ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan, keterangan dan dalil. 3. Isu utama dalam kes ini ialah tentang pengesahan rujuk melalui perbuatan secara persetubuhan . 4. Sebelum itu Pihak kami akan mengemukan definisi rujuk melalui perbuatan daripada perspektif Fuqaha bagi memudahkan pihak-pihak untuk penyelesaian dalam hal ini. DEFINISI RUJUK Rujuk adalah daripada bahasa Arab yang dipakai secara menyeluruh oleh umat Melayu Nusantara dengan pengertian penarikan balik sesuatu. Kamus Dewan pula mentakrifkan rujuk sebagai kembali (kahwin) dengan isteri yang sudah diceraikan mengikut syarat-syarat tertentu. Daripada sosiologi bahasa, rujuk adalah masdar atau kata terbitan raja'a yarji'u ruju'a marji'an yang memberi erti kembali atau balik. Adapun raj'ah atau rij'ah dari segi bahasa adalah masdar marrah dari ruju' ertinya satu nama untuk sekali rujuk atau sekali kembali. Rujuk daripada sudut istilah syara' ialah mengembalikan isteri yang telah ditalak dengan talak raj'i (bukan bain) kepada perkahwinan asal sebagai tindakan untuk mempertahankan ikatan yang telah dibina. Rujuk tidak memerlukan wali, mas kawin dan tidak juga memerlukan kesediaan isteri yang telah diceraikan. Ini adalah berdasarkan firman Allah: وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ Yang bermaksud: Dan para suami berhak merujuk dalam masa iddah tersebut dengan tujuan yang baik. (al-Baqarah: 228) Juga firman Allah berikut: وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ Yang maksudnya: Dan apabila mereka mendekati akhir iddahnya, maka pertahankanlah mereka dengan cara makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara makruf (pula). Daripada perbahasan ini, kita dapati bahawa apabila wanita yang diceraikan itu mendekati masa akhir iddah mereka, suami mempunyai hak untuk merujuk mereka semula. Para ulama' mazhab sependapat bahawa wanita yang dirujuk itu hendaklah berada dalam masa iddah bagi talak raj'i. Dengan demikian wanita yang ditalak ba'in sekalipun belum dicampuri tidak boleh dirujuk kerana wanita tersebut tidak mempunyai iddah. Juga para suami tidak berhak merujuk wanita yang di talak tiga kerana Islam mensyaratkan untuk kembali kepada isteri yang ditalak tiga memerlukan seorang muhallil. Ulama' juga telah sepakat menyatakan bahawa rujuk boleh dilakukan dengan ucapan (perkataan) namun kalimah yang digunakan mestilah jelas dan memberi maksud rujuk. Namun begitu para ulama' berbeza pandangan berkaitan perihal rujuk yang dilakukan dengan perbuatan seperti bersetubuh atau pendahuluan-pendahuluan ke arah persetubuhan seperti ciuman, cumbuan, pelukan, rabaan dan sebagainya yang menjurus ke arah persetubuhan tanpa di awali dengan ucapan atau lafaz yang menunjukkan kepada rujuk. Para Ulama' Mazhab Shafie berpandangan bahawa rujuk mesti dilakukan dengan ucapan atau tulisan. Justeru itu, para ulama' mazhab shafie berpandangan bahawa rujuk yang dilakukan dengan perbuatan adalah tidak sah walaupun perbuatan itu diniatkan sebagai rujuk. Dalam soal ini, golongan ini menyatakan bahawa haram bagi suami mencampuri isterinya dalam iddah melainkan setelah merujuknya melalui lafaz. Jika suami mencampuri isterinya, ia harus membayar mahar mithil kerana percampuran tersebut tergolong dalam percampuran syubhat. Fuqaha' Mazhab Maliki berpandangan bahawa rujuk sah dilakukan dengan perbuatan yang disertai dengan niat rujuk. Jika suami mencampuri isterinya tersebut tanpa niat, rujuk tidak akan terjadi. Namun percampuran tersebut tidak mengakibatkan adanya hukuman hadd ataupun tidak diwajibkan membayar mahar. Manakala anak yang dilahirkan hasil daripada pesetubuhan itu masih dikaitkan nasabnya kepada lelaki tersebut. Fuqaha' Mazhab Hanbali pula berpandangan bahawa rujuk melalui perbuatan hanya boleh terjadi melalui persetubuhan. Oleh itu, rujuk akan terjadi sekalipun perkara tersebut tidak diniatkan oleh suami. Jika hanya perbuatan selain daripada persebubuhan seperti sentuhan, rabaan, ciuman, pelukan dan sebagainya tidak dianggap sebagai rujuk. Fuqaha' Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi melalui persetubuhan, sentuhan dan ciuman dan perbuatan yang seumpamanya yang dilakukan oleh lelaki yang melafazkan talak terhadap isterinya dengan syarat semua yang dilakukan tersebut dengan nafsu syahwat. Dalam soal ini juga, fuqaha' Mazhab ini berpandangan bahawa rujuk juga sah dilakukan oleh orang yang tertidur, lupa, dipaksa dan gila. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menceraikan isterinya, selepas beberapa ketika dia gila , kemudian dia melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum habis waktu iddah, rujuk tersebut dikira sah. Manakala fuqaha' Syiah Imammiyyah berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi dengan persetubuhan, ciuman dan sentuhan sama ada dilakukan dengan syahwat atau pun tidak dan tidak memerlukan pendahuluan berupa ucapan. Perbuatan tersebut juga tidak memerlukan niat rujuk. KESIMPULAN 1. Mahkamah yang mulia ini hendaklah mengambilkira pengakuan dan keterangan Pemohon serta Responden dalam kes ini. 2. Y.A Hakim sebelum memutuskan sesuatu hukuman hendaklah mendengar, memahami dan mengkaji perkara-perkara berhubung dengan kes tersebut termasuklah fakta, undang-undang dan prosedur yang berkenaan, mendengar keterangan pihak-pihak dengan sabar dan tenang, sehingga Y.A Hakim berpuashati untuk memutuskannya, sebagaimana yang diarahkan oleh Khalifah Umar di dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asyari, di antara lain beliau berkata : “Sesungguhnya kehakiman adalah suatu kewajipan mutlak dan sunnah yang diikuti. Fahamilah sesuatu perkara (kes) itu terlebih dahulu apabila ianya dihadapkan kepadamu..........” 3. Persoalan-persoalan inilah yang perlu diteliti dan diadili sepenuhnya oleh Mahkamah yang mulia ini dalam menentukan kedudukan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan yang telah dibuat oleh Responden terhadap Pemohon tersebut. 4. Dalam kes ini, Mahkamah yang mulia ini perlulah mengambil kira latar belakang dan suasana sebelum, semasa dan selepas persetubuhan tersebut dibuat dalam memutuskan adakah rujuk tersebut adakah sah atau tidah sah pada tarikh tersebut. 5. Kami juga menghujahkan bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang dan Hukum Syara’ sekiranya Mahkamah menerima pakai pandangan ulama’ Mutaakhirin, demi menjaga kemaslahatan, mengelakkan keburukan dan penganiayaan terhadap pihak-pihak yang terlibat. 6. Mahkamah boleh menerimapakai doktrin Masyaqqah dan hukum keringanan menurut prinsip Syariat Islam, di mana dalam konteks maqasid al-Syari’ah (tujuan syariat) selalunya diikuti dengan perbincangan konsep al-taisir (memudahkan), rukhsah (kelonggaran) dan al-takhfif (meringankan). Doktrin al-Masyaqqah ini sebenarnya dibincangkan oleh para ulama’ di bawah tajuk al-dharurah. Antara kaedah yang terpakai dalam konsep al-dharurah ialah :- “Kesulitan itu membawa kepada kesenangan atau kemudahan.” Maksud : “Allah menghendaki kesenangan pada kamu dan Dia tidak menghendaki kesusahan pada kamu.” - Surah al-Baqarah ayat 185. Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud :- “Aku diutuskan dengan agama yang suci dan mudah (memberi kelonggaran) - Riwayat Ahmad. 7. Doktrin masyaqqah ialah bahawa kesulitan dan kesusahan itu menjadi sebab bagi kelonggaran dan kemudahan, dan pada waktu kesempitan mesti ada kelonggaran. 8. Maka berdasarkan kepada dalil-dalil, bukti-bukti, hujah-hujah dan alasan yang diberikan maka sewajarnya Mahkamah yang mulia memutuskan permohonan Pemohon.

3 comments:

  1. salam..boleh saya dapatkan kepastian berkenaan kes diatas..apakah keputusan mahkamah atas pengesahan rujuk tersebut?adakah sah rujuk dgn perbuatan tanpa lafaz?

    ReplyDelete
  2. Sah kn rujuk melalui perbuatan itu

    ReplyDelete
  3. Sah kn rujuk melalui perbuatan itu

    ReplyDelete