Saturday, July 4, 2009

HUJAHAN PENGGULUNGAN NIKAH SENDIKET

H U J A H P E N G G U L U N G A N MUKADIMAH 1. Pemohon memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan dan mendaftakan pernikahan mereka pada 02hb Oktober 2004 bertempat di Gopeng, Perak Darul Ridzuan sebagaimana di bawah seksyen
12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)1984. 2. Pemohon I dan Pemohon II telah memfailkan permohonan tersebut pada 19hb Februari 2009. Pada 17hb Februari 2009, Pemohon I telah melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates bagi mewakili Pemohon I dan Pemohon II di Mahkamah. 3. Kes perbicaraan telah bermula pada 10hb Mac 2009 dan keterangan Pemohon I dan pemohon II telah diambil pada tarikh 7hb April 2009 tersebut berserta keterangan wali “Abang kandung” Iaitu En Mohd Azman Bin Abd kadir . 4. Kes telah ditetapkan pada 19hb Mei 2009 untuk Peguam Syarie Pemohon memasukkan hujahan bertulis sebelum Mahkamah membuat keputusan. ULASAN 1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang dipetik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :- Maksud: “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut)dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).” 2. Pemohon I dan Pemohon II sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil. 3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati). 4. Dalam Seksyen 3 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1993, “keterangan” termasuklah :- (a) bayyinah dan syahadah, (b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ; (c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar). 5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan. 6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya. 7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara bayyinah, syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar. 8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :- (a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini. (b) Samada Pernikahan tersebut yang berlangsung pada 02hb Oktober 2004 di Gopeng, Perak adalah Sah mengikut hukum Syara atau Tidak Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes. 1. Merujuk kes ini dari sudut undang-undang, bahawa Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidangkuasa untuk mendengar kes ini kerana ia telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2,4 dan 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 2. Pemohon I adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar serta alamat yang tertera di kad pengenalan Pemohon I yang secara jelas menunjukkan bahawa pihak Pemohon tinggal di dalam Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian, 3. Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan yang difailkan oleh pihak Pemohon I dan Pemohon II tersebut. 4. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu. 5. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada. Isu Kedua: Samada Pernikahan tersebut yang berlangsung pada 02hb Oktober 2004 di Gopeng, Perak Darul Ridzuan adakah Sah dari hukum Syara atau Tidak 1. Pemohon I dan Pemohon II telah mengemukakan dakwaan bahawa pada 02hb Oktober 2004 telah berlaku akad nikah diantara Pemohon I dengan Pemohon II . Pernikahan tersebut telah diwalikan oleh wali nasab serta disaksikan dua orang saksi . 2. Dokumen Surat Nikah tersebut adalah keterangan dokumentar yang membuktikan fakta wujudnya pernikahan tersebut . 3. Pemohon I semasa keterangan lisannya menyatakan pernikahan tersebut telah diuruskan oleh orang lain,iaitu Abd talib Bin Abd Majid. Pemohon sendiri tidak mengetahui surat nikah tersebut adalah Palsu. 4. Keterangan dokumentar ini dikuatkan lagi dengan keterangan Pemohon II, serta Wali yang turut hadir dan menjadi saksi pernikahan tersebut. 5. Semasa upacara pernikahan tersebut Pemohon I, Pemohon II telah melihat sendiri wali kepada Pemohon II iaitu En Mohd Azman Bin Abd Kadir telah mewakil walikan kepada juru nikah untuk menikahi anaknya iaitu Pemohon II. Pernikahan tersebut telah diwalikan oleh ayah kandung sendiri . 6. Pernikahan tersebut telah diakad nikahkan oleh Ustaz yang tidak diketahui namanya serta telah disahkan oleh dua orang saksi. Iaitu saksi pertama En Abd Talib Bin Abd majid dan saksi kedua iaitu En Muin Bin Bistami . 7. Jadi kami menghujahkan bahawa Pemohon I dan Pemohon II telah dapat membuktikan kepada Mahkamah di tahap yakin, bahawa telah berlakunya pernikahan pada hari tersebut. ULASAN FAKTA-FAKTA KES DAN HUJAH 1. Merujuk permohonan ini, beberapa perkara asas perlu diperjelaskan serta dibuktikan terlebih dahulu di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini ke peringkat/tahap yakin untuk disahkan sebelum diperintahkan didaftarkan. 2. Kerana sudah pasti, apa-apa permohonan yang belum disahkan oleh pihak Mahkamah akan wujud unsur-unsur keraguan berhubung kesahihan sesuatu pernikahan sebelum disahkan serta diperintahkan sebelum didaftarkan pernikahan tersebut di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). 3. Persoalan pertama yang timbul dan wajib diberi perhatian berhubung permohonan ini ialah upacara akad nikah tersebut dilangsungkan, adakah ianya bertepatan dengan Hukum Syarak. Adakah akad tersebut ada mencakupi/memenuhi rukun-rukun pernikahan yang menjadi pra-syarat penting sahnya sesuatu pernikahan ataupun pernikahan tersebut sekadar dijalankan tanpa mengikut prosedur yang betul untuk dibenarkan didaftarkan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984. 4. Bagi menjawab dan memperjelaskan isu tersebut, perkara pertama yang perlu dirujuk dan diberi keutamaan berkaitan dengan rukun-rukun nikah. Syariat Islam mengariskan bahawa rukun-rukun pernikahan ada lima perkara iaitu : i. Mempelai lelaki ii. Mempelai wanita iii Wali iv. Dua orang saksi lelaki v. Sighah (lafaz Ijab dan Qabul). 5. Berdasarkan persoalan tersebut, pihak kami berhujah berdasarkan kepada keterangan utama pihak Pemohon I dan Pemohon II yang diiqrarkan dalam Afidavit sebagai keterangan Mahkamah . Pemohon I mengakui secara terbuka bahawa Pemohon I telah bernikah dengan Pemohon II, pada 02hb Oktober 2004 bertempat di Gopeng, Perak Darul Ridzuan dengan kata lain di antara mereka telah pun mempunyai ikatan/ pertalian suami isteri. 6. Mengikut kaedah Usul Fiqh “Seseorang itu terikat dengan pengakuannya”. Jadi pengakuan bersumpah tersebut secara langsung mengikat Pemohon berhubung fakta tersebut. Malah fakta tersebut turut diakui oleh Wali yang dipanggil untuk memberikan keterangan. 7. Dari keterangan tersebut, tanpa sebarang prasangka dan syak termasuklah disokong oleh Wali. Ini jelas menunjukkan bahawa pernikahan tersebut melibatkan diantara Pemohon I dan Pemohon II. 8. Pemohon I juga ada mengakui serta memberitahu Mahkamah bahawa status beliau semasa pernikahan tersebut dilangsungkan adalah sudah beristeri dan Pemohon II adalah anak dara. 9. Dalam keterangan Pemohon I dan pemohon II ada menyatakan kepada Mahkamah bahawa Pernikahan mereka tiada sebarang paksaan ke atas pihak-pihak. Malah pihak-pihak bernikah atas kerelaan hati masing-masing. 10. Bagi membuktikan dan memperkuatkan lagi kewujudan pernikahan tersebut, pihak kami berhujah berdasarkan satu kaedah fiqh yang boleh diguna pakai dalam mengesahkan kewujudan pernikahan tersebut. Asal sesuatu itu tidak ada. Asal sesuatu perkara itu tidak ada melainkan dibuktikan sebaliknya. Dalam hal ini, pada asalnya pernikahan tersebut tidak ada/wujud. Oleh kerana keterangan Pemohon I Pemohon II boleh diterima sebagai hujah yang kuat serta disokong oleh keterangan-keterangan wali, maka tidak syak lagi wujudnya pernikahan tersebut antara pihak-pihak. 11. Disamping itu juga tidak timbul lagi sebarang syak dan tohmahan, realitinya akad nikah tersebut dijalankan/dilangsungkan menepati kaedah Hukum Syarak. Kesahihan fakta tersebut dibuktikan lagi dalam keterangan Pemohon bahawa wujudnya Sighah (lafaz ijab dan Qabul) dalam pernikahan tersebut. 12. Mengikut Syariat Islam, Sighah ialah lafaz Ijab Qabul dalam sesuatu pernikahan adalah dalil zahir yang menunjukkan kerelaan kedua-dua belah pihak yang mengadakan akad tersebut. Oleh demikian itu wujudnya Sighah tersebut secara zahirnya menandakan wujudnya kerelaan pihak-pihak untuk bernikah. 13. Menyentuh perlaksanaan Sighah dalam pernikahan tersebut juga berdasarkan keterangan pihak-pihak, jelas menunjukkan mencakupi syarat-syarat Sighah sebagaimana yang digariskan di dalam Kitab Fikah Mazhab Syafie (Fiqh Manhaji) iaitu : i. Hendaklah menggunakan Lafaz Nikah atau Kahwin. ii. Lafaz Ijab dan Qabul hendaklah disebut secara jelas dan terang. iii. Ijab dan Qabul bersambung. iv. Pengantin lelaki dan wali waras sehingga selesai akad. v. Sighah menunjukkan akad berlaku ketika itu juga. vi. Sighah mesti mutlak. 14. Mengulas keterangan Pemohon-Pemohon juga berhubung halangan pernikahan tersebut, tidak berbangkit sebarang masalah dari sudut Hukum Syarak, memandangkan tidak ada sebarang bukti yang boleh menghalang kesahihan pernikahan tersebut khususnya dari sudut hubungan kekeluargaan/ pertalian darah/ susuan/ tidak berada dalam ihram haji dan pinangan antara pihak-pihak. 15. Dalam kes ini Pemohon berhujah bahawa mereka tidak terhalang dan berkeupayaan untuk berkahwin menurut hukum syara, dengan keadaan tersebut ianya telah memenuhi rukun nikah tersebut. 16. Malah, kesahihan pernikahan tersebut juga disokong oleh keterangan Pemohon-Pemohon yang memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pernikahan tersebut telah diwalikan oleh Ayah kandung Pemohon II sendiri. 17. Berlandaskan keterangan tersebut juga, secara jelas memperlihatkan bahawa pernikahan tersebut diadakan dengan menggunakan wali akrab (nasab) bagi pihak Pemohon II. Perkara tersebut selaras dengan tuntutan Hukum Syarak sebagaimana yang disebut serta dita’kid oleh Imam Syafie : pernikahan seorang perempuan tidak sah kecuali apabila dinikahkan oleh wali akrab (dekat). Kalau tidak ada wali akrab dinikahkan oleh wali ab’ad (jauh). Kalau tidak ada dinikahkan oleh Penguasa (wali hakim). 18. Rasulullah saw bersabda maksudnya:- “Dari ibnu Abbas bersabda Rasulullah saw bersabda : Tidak sah pernikahan kecuali dengan wali dan sultan adalah wali dari orang yang tidak mempunyai wali (HR Ath Thabrani) (Drs H.Djaman Nur , Fiqh Munakahat, hln:74) 19. Pemohon juga ada menggambarkan kepada Mahkamah sebelum upacara akad nikah dijalankan (Ijab dan Qabul), wali iaitu Ayah Kandung Pemohon II, ada melafazkan wakil wali kepada Jurunikah untuk menikahkan Pemohon II. Sejurus itu akad nikah dijalankan dengan disaksikan oleh (2) dua orang saksi lelaki, dengan dimulakan Ijab oleh Jurunikah dan Qabul oleh Pemohon I. 20. Wujudnya (2) dua orang saksi lelaki yang dalam pernikahan tersebut telah menangkis segala keraguan yang timbul dalam pernikahan tersebut, ini memandangkan Islam telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan kehadiran (2) dua orang saksi lelaki untuk menyaksikan akad nikah tersebut. 21. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Tidak ada perkahwinan tanpa wali dan dua orang saksi yang adil. Perkahwinan yang selain dari itu adalah batal.”- Riwayat Ibnu Habban. 22. Rentetan dari prosiding tersebut juga, Pemohon ada memberitahu Mahkamah bahawa Mas Kahwin pernikahan tersebut sebanyak RM 22.50 tunai. 23. Sikap positif Pemohon I yang ada menyediakan mahar sebanyak RM 22.50 tunai serta hantaran sebanyak RM2,000.00 kepada Pemohon II bertepatan dengan kehendak Syariat Islam yang memberi hak jelas kepada wanita yang hendak dikahwini. 24. Ini sebagaimana yang terkandung di dalam Firman Allah S.W.T dalam surah An Nisa’ ayat 4 yang berbunyi : “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah pemberian itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” 25. Lazimnya dalam masyarakat kita mahar (maskahwin) adalah sesuatu pemberian dalam sesuatu pernikahan, oleh sebab itu nyata dan jelas fakta tersebut menunjukkan bahawa tidak diragui bahawa wujud pernikahan tersebut. 26. Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan oleh Pemohon I dan pemohon II,serta wali yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ternyata tiada sebarang percanggahan berkaitan isu yang dibangkitkan. 27. Begitu juga, perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam kes ini iaitu segala keterangan tersebut adalah tidak bercanggah di antara satu sama lain dan kesemuanya adalah kearah menyokong atau menguatkan lagi segala keterangan Pemohon-Pemohon dan tidak timbul apa-apa syak yang menunjukkan bahawa mereka bersepakat atau cuba memberi keterangan palsu. Maka ini adalah merupakan qarinah yang menunjukkan bahawa secara asasnya segala keterangan yang telah dikemukakan oleh Pemohon serta saksi-saksi adalah benar, mencukupi dan boleh diterima pakai untuk meluluskan permohonan ini. 28. Secara khususnya, sejarah perundangan Islam tidak pernah menafikan hujah dan keterangan yang berupa Baiyyinah, ikrar, Qarinah, alamat dan keadaan yang menentukan ataupun menjelaskan sesuatu hak. Bahkan terdapat sumber dari sejarah perundangan Islam yang telah menunjukkan para Ulama’ telah mengambil kira kesemuanya itu dari proses perbicaraan ataupun menjatuhkan hukuman. 29. Ini jelas sebagaimana pendapat Ibn Qayyim yang menyatakan bahawa :- “Sesungguhnya Syariat Islam adalah tidak menolak akan segala yang menerangkan hak, dan tidak menafikan akan segala perkara yang menjadi penunjuk atau pun dalil kepada sesuatu dan tidak membatalkan akan segala alamat atau tanda yang sahih yang menunjukkan kepada sesuatu hak”. 30. Beban pembuktian yang dipikul oleh Pemohon telah berjaya dipenuhi di mana Pemohon telah berjaya membuktikan melebihi tahap berat sangka yang menjadi mekanisme dalam kes sebegini. Oleh yang demikian dihujahkan bahawa Pemohon dalam kes ini telah berjaya membuktikan melebihi had zan kepada Mahkamah Yang Mulia Ini. 31. Sebagai sokongan terhadap permohonan ini, Mahkamah juga boleh menerima satu lagi kaedah fiqh yang berbunyi Tanda zahir sesuatu yang tersembunyi mengambil tempatnya. Perkara-perkara yang tersembunyi yang sukar diketahui hakikatnya hendaklah dilihat melalui tanda-tanda luaran. Oleh itu segala keterangan yang diberikan telah mengambil alih perkara tersembunyi yang tidak dapat dizahirkan. KESIMPULAN 1. Berdasarkan kepada keterangan Pemohon I Dan Pemohon II serta wali yang dikemukakan, ternyata tidak terdapat sebarang percanggahan yang boleh meragukan fakta-fakta kes. Keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi juga berkait rapat antara satu sama lain. Jelas menunjukkan bahawa wujudnya pernikahan di antara pihak-pihak. 2. Walaupun pernikahan tersebut tidak pernah disahkan dan didaftar di mana-mana Pejabat Agama Islam di Malaysia, namun demikian Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan tersebut berdasarkan peruntukan Seksyen 244 dan 245 Akta Tatacara Mal (Mahkamah Syariah) Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998. Seksyen 244 (Kuasa sedia ada Mahkamah) pula memperuntukkan bahawa “Tiada apa-apa jua Akta ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa Perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah” Seksyen 245 Akta Tatacara Mal (Mahkamah Syariah) Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998 (Hukum Syarak) memperuntukkan bahawa :- (1) Mana-mana peruntukkan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidak selarasan itu. (2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini hendaklah menggunakan Hukum Syarak. 3. Berdasarkan kepada peruntukan seksyen tersebut, jelas bahawa Mahkamah berbidangkuasa untuk membuat/ memutuskan apa-apa Perintah sekiranya menepati kaedah yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. 4. Maka berdasarkan kepada alasan-alasan, hujah-hujah dan bukti-bukti yang dikemukakan, sewajarnya Mahkamah yang mulia ini meluluskan permohonan tersebut.

1 comment: