Saturday, July 4, 2009

HUJAHAN PENGGULUNGAN CERAI FASAKH

HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF 1. Plaintif memohon perceraian secara Fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
2. Pada 08 hb Januari 2008 Plaintif melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates. Plaintif telah memfailkan permohonan tersebut melalui Peguam Syarie Plaintif pada 16hb Januari 2008 dan semasa perbicaraan

Defendan tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan di Mahkamah . 3. Pada 06hb Februari 2008 sebutan pertama ditangguhkan.Pada 13 hb Februari 2008 sebutan pertama dan sebutan seterusnya diteruskan dengan penyampaian disempunakan melalui Penyampaian Ganti secara iklan di dalam surat khabar melalui perintah Mahkamah bertarikh 16hb Februari 2008. Setelah semua prosiding telah lengkap, Plaintif telah memberi keterangan secara bertulis tanpa kehadiran Defendan. Kemudian pada hari perbicaraan yang lain iaitu pada 16hb April 2009, kes diteruskan dengan keterangan bertulis dua orang saksi Plaintif iaitu Cik Putri Nuraind Bt Zulkifli [SP-1].

Berhubungan sebagai anak Plaintif dan juga dengan keterangan saksi kedua Plaintif iaitu En. Mohammad Effende Bin Mat Ron [SP-2] berhubungan sebagai kawan Plaintif. 4. Kes ditetapkan untuk keputusan. ULASAN 1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang di petik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :- Maksud : 

“Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).” 2. Plaintif sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil. 3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati). 4. 

Dalam Seksyen 3 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, “keterangan” termasuklah :- (a) Bayyinah dan Syahadah, (b) Segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ; (c) Segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar). 

 5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala Syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan. 

 6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya. 7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara Bayyinah, Syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar. 

 8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :- 

a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini. 

b) Samada wujud atau tidak Defendan telah cuai memperuntukan nafkah zahir dengan sewajarnya. Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes. 

 1. Dari sudut Undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini. Permohonan Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2, 4 dan 50, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

 2. Plaintif adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah ini. Plaintif tinggal di No AG-1 Jalan Pandan Indah 3/3, Pandan Indah, 55100 Selangor . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Kad pengenalan Plaintif yang ditandakan sebagai P-1 Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 1 - [P - 1] 3. Seksyen 2 Enakmen memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu. 

 4. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada. 

 5. Plaintif dan Defendan juga telah berkahwin menurut Hukum Syara’. Mereka telah diakad nikahkan pada 27hb Februari 1992 di Negeri Sabah dan telah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Negeri Sabah . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Surat Perakuan Nikah Bil 128/92 (KKK).yang ditandakan sebagai P-2. Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 2 - [P – 2] 6. 

Hasil dari perkahwinan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Putri Nuraind Bt Zulkifli. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar surat kelahiran anak yang ditandakan sebagai P-3 Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P – 3] 

 7. Walaupun tanpa kehadiran Defendan, kuasa ekslusif telah diberikan oleh undang-undang kepada Mahkamah untuk membicarakan sesuatu kes, dengan syarat penyampaian yang wajar telah dilaksanakan. Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan :- - Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran- (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya; 

 8. Sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berjalan, kes ini telah berjalan berperingkat untuk keterangan Plaintif dan saksi-saksi, tangguhan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Defendan untuk hadir bagi menjawab tuntutan Plaintif. Walaubagaimanapun, sepanjang tempoh sebutan sehingga perbicaraan, Defendan tidak pernah hadir. 

 9. Maka dari segi undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini, walaupun tanpa kehadiran Defendan. Isu Kedua : Samada wujud atau tidak Defenden telah abai memberikan nafkah zahir sewajarnya kepada (Plaintif) a) Dalam kes ini, Plaintif hanya mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan tiada memberi nafkah selama tiga (3) bulan atau lebih lamanya. 

 10. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :- a) Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya. 

 11. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi . 

 12. Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya. 

 a) Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah mengabaikan dengan pemberian nafkah zahir melebihi tiga bulan sejak Defendan meninggalkan Plaintif di rumah ibu bapa Plaintif pada bulan Disember 1997 sehingga sekarang. 

 b) Defendan telah meninggalkan Plaintif di rumah ibu bapa Plaintif di Sabah. Selama tinggal di Sabah Plaintif tidak diberi nafkah baik makan,minum, pakaian dan sebagainya. Plaintif ditinggalkan Defendan tanpa sebarang nafkah selama 5 tahun lebih dari Disember 1997 sehingga tahun 2002. c) 

Pada 03hb januari 2008 Plaintif juga telah membuat laporan polis di Balai Pandan Indah , Selangor bahawa beliau telah ditinggalkan Defendan sejak 30hb Disember 1997 dan menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui di mana Defendan berada dan menghilangkan diri tanpa sebarang nafkah zahir dan b atin kepada Plaintif. 

 Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 4 - [P –4] d) Sehinggalah pada bulan Disember 2002 Plaintif telah berhijrah ke Semenangjung dan tinggal di Kuala Lumpur bersama anaknya sehingga ke hari ini. 

 e) Dengan Pendapatan Plaintif sebagai promoter di pasaraya SOGO dengan syarikat L.S APPAREL Sdn Bhd beralamat di Taman Shamelin Perkasa, 56100 Cheras, Kuala Lumpur,

 digunakan sepenuhnya untuk menampung kehidupan Plaintif dan anak-anak.. f) Plaintif juga menanggung semua pembelanjaan dan keperluan rumah. Plaintif juga terpaksa membayar bil elektrik ,air dan keperluan anak serta persekolahan tanpa bantuan Defendan . 

 f) Defendan tidak pernah datang ke rumah tersebut. Sepanjang tempoh itu juga, tiada nafkah dari Defendan atau wakil atau keluarga Defendan memberi nafkah kepada Plaintif. 

 g) Fakta-fakta ini telah disokong oleh saksi-saksi Plaintif. SP-1 Plaintif iaitu hubungan sebagai anak kandung Plaintif (SP-1) menyatakan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan Defendan ketika tinggal di rumah tersebut. Defendan tidak menyediakan nafkah dan wang perbelanjaan kepada Plaintif dan beliau sebagai anak. Keterangan ini sokong oleh keterangan SP-1 dan SP-2 iaitu kawan Plaintif. 

 h) SP-1 dan SP-2 pula mengakui kesemua perbelanjaan Plaintif adalah ditanggung oleh hasil duit gaji Plaintif sendiri. i) SP-2 juga sering membantu Plaintif dalam urusan kewangan, urusan rumahtangga Plaintif apabila Plaintif mengalami masalah kewangan dan sebagainya. 

 j) SP-2 menyatakan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan Defendan di rumah Plaintif apabila beliau melawat ke rumah tersebut, dan mengakui bahawa Plaintif hanya tinggal bersama anaknya seorang sahaja . 

 a. Plaintif juga menyatakan bahawa bebanan kewangan serta tanggungjawab keluarga ditanggung oleh Plaintif seorang sahaja .Defendan tidak pernah datang memberikan nafkah serta tidak mengambil tahu masalah keluarga dan membiarkan Plaintif menguruskan sendiri. 

 b. SP-1 dan SP-2 pula mengakui Defendan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dan meletakkan kesemua tanggungjawab di bahu Plaintif. 

 k) Beban pembuktian terhadap dakwaan berhubung dengan nafkah menjadi tanggungan ke atas suami (Defendan) untuk membuktikannya tetapi Defendan tidak hadir untuk menafikannya. 

 1. Mahkamah boleh berbalik kepada qaedah fiqh yang berbunyi:- Maksud : “Asal sesuatu itu tidak ada”. 

 l) Maksud kaedah ini, asal sesuatu itu tidak ada, atau tidak wujud jika tidak dibuktikan sebaliknya. Ini adalah satu anggapan yang boleh ditolak dengan cara dibuktikan sebaliknya. 

 m) Dalam persoalan ini, asalnya nafkah oleh Defendan disifatkan tidak diberi, melainkan Defendan membuktikan dia ada memberi nafkah. Defendan tidak hadir untuk membuktikan bahawa dia ada memberi nafkah kepada Plaintif 

 n) Dalam kes ini, kedua-dua saksi konsisten menyatakan bahawa tidak ada wakil Defendan memberi nafkah kepada Plaintif. 

 o) Plaintif juga tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah yang menghilangkan kelayakannya untuk mendapat nafkah zahir daripada Defendan. Ini disokong oleh keterangan kesemua saksi-saksi Plaintif . 

 p) Jadi jelaslah, bahawa persoalan sama ada benar Defendan gagal mengadakan peruntukan nafkah zahir selama tempoh tiga (3) bulan dengan demikian jelas terjawab dengan keterangan Plaintif dan saksi-saksinya. Kami menghujahkan bahawa keterangan SP-1 dan SP-2 merupakan Syahadah yang mencapai tahap yakin sebagaimana dalam kaedah pembuktian Islam. Saksi-saksi ini melihat dan menyaksikan sendiri keadaan Plaintif. 

 q) Kedua-dua saksi telah memberikan keterangan terhadap Defendan bagi membuktikan Defendan telah tidak memberi nafkah zahir lebih tiga bulan, dan Defendan atau wakilnya tidak memberi nafkah selama tempoh tersebut, sedangkan Plaintif masih taatkan Defendan. 

 r) Tidak ada percanggahan fakta antara dakwaan Plaintif dan keterangan kedua-dua saksi ini. Dan sewajarnya Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi ini sebagai Syahadah dan Bayyinah. 

 s) Keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi Plaintif membuktikan kepada Mahkamah bahawa Defendan telah gagal memberi nafkah . 

 KESIMPULAN 

 1. Hukum Syara’ dan Undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan suami isteri berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah di sisi Hukum Syara’. 

 2. Antara alasannya ialah apabila suami tidak memberi nafkah yang wajib kepada isteri untuk suatu tempoh tertentu. 

 3. Rasulullah S.A.W ada bersabda dalam kitab Subul al-Salam juzuk 4, bab talaq, sabdanya: “ Berkenaan seorang lelaki yang tidak mengadakan peruntukan nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan di antara keduanya.” 

 4. Fahaman daripada hadith tersebut bahawa seorang lelaki yang tidak memperuntukkan nafkah sama ada disebabkan kesukaran atau dengan sebab keingkarannya, bolehlah dipisahkan. 

 5. Manakala di dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa, Yang Arif Hakim Abu Bakar ada mengatakan:- “Tidak memberi nafkah atau tidak mengadakan nafkah kepada isteri boleh menjadi kesukaran dan kesusahan dalam meneruskan hidup kerana nafkah adalah keperluan asas untuk hidup di mana mengikut Qawaid al-Fiqhiyyah bermaksud: “Kemudaratan diharuskan (dibolehkan) perkara yang ditegah. Ini bermaksud cerai adalah perkara yang sangat dibenci oleh Allah tetapi dihalalkan dengan tujuan menolak perkara yang lebih berat dengan tiada dapat dilaksanakan kewajipan dan tugas suami isteri dalam rumahtangga.” 

 6. Di dalam kes Hairun bt. Mohd. Sharif lwn Omar bin Mohd. Noor, Jawatankuasa Rayuan menyatakan bahawa:- “Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana dianiaya atau darar ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dirar terhadap tubuh badan sahaja malahan lebih luas dari itu........”. 

 7. Begitu juga di dalam kes Hasnah binti Omar lwn Zaabar bin Mohd Amin, Yang Arif Hakim Dato’ Ismail menyatakan pembubaran perkahwinan secara fasakh adalah dibolehkan: “ Bahawa suami menganiaya isteri atau antara lain lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupan isteri itu menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya suami. Selain dari itu Mahkamah telah diberi kuasa memerintahkan fasakh berdasarkan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi pembubaran itu.” 

 8. Dakwaan Plaintif berhubung Defendan tidak memberi nafkah selama tempoh melebihi tiga (3) bulan tidak dapat dibuktikan sebaliknya oleh Defendan. Hanya datang dua kali dan Defendan tidak hadir sepanjang perbicaraan untuk menafikan tuntutan Plaintif. 

 9. Defendan telah di beri hak untuk membela diri dan membuat pembelaan, tetapi Defendan tidak menggunakan hak yang diberi oleh undang-undang dan Hukum Syara’. Jadi Mahkamah boleh memutuskan walaupun tanpa kehadiran Defendan. 

 10. Ini bertepatan dengan Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor )2003 memperuntukkan:- S.121 (1) Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran – (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya; 

 11. Merujuk kepada peruntukan di bawah 121(2) enekman Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa” “Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-apa penghakiman mengenai tuntutan Plaintif di bawah perenggan (1) (B) atau tuntutan balas Defendan di bawah perengan (1) (c) mengarahkan Plaintif atau Defendan, mengikut mana-mana yang berkenaan mengangkat sumpah istizhar”. Dalam kes ini Mahkamah berdasarkan kepada peruntukan di bawah seksyen ini wajar mengarahkan Plaintif untuk melakukan Yamin istizhar. 

12. Daripada keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan saksi-saksi Plaintif, dokumen-dokumen yang dikemukakan, dan prosedur-prosedur yang telah dijalankan dan disempurnakan, jelas membuktikan bahawa berlaku perkara-perkara sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif. Dan Mahkamah boleh menfasakhkan pernikahan antara Plaintif dan Defendan. 

 13. Maka berdasarkan kepada keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen yang dikemukakan, maka sayugialah Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif sebagaimana yang dipohon.

4 comments:

  1. sekiranya ada permasalahan boleh terus pejabat saya dialamat Tetuan Nahar & Associates .No 3 Tingkat 1, Bangunan Koperasi Polis , Jalaan Sulaiman, Kuala Lumpur atau terus hubungi saya di no hp diatastq

    ReplyDelete
  2. OK tuan.. informasi yang sangat berguna, cepa dan tepat untuk kami mencari..

    ReplyDelete
  3. Slm .. ada tak hujahan pengulungan cerai takliq

    ReplyDelete
  4. Casino Roll
    Casino Roll 더킹 바카라 is your new home for the top casino rollers. Join 룰렛 게임 us 러시안 룰렛 now for fun and win real money on 빡촌 후기 slots, blackjack, poker, 강원 랜드 슬롯 머신 keno and more!

    ReplyDelete