Saturday, July 4, 2009

HUJAHAN PENGGULUNGAN CERAI FASAKH

HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF

1. Plaintif memohon perceraian secara Fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Pada 08 hb Januari 2008 Plaintif melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates. Plaintif telah memfailkan permohonan tersebut melalui Peguam Syarie Plaintif pada 16hb Januari 2008 dan semasa perbicaraan Defendan tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan di Mahkamah .

3. Pada 06hb Februari 2008 sebutan pertama ditangguhkan.Pada 13 hb Februari 2008 sebutan pertama dan sebutan seterusnya diteruskan dengan penyampaian disempunakan melalui Penyampaian Ganti secara iklan di dalam surat khabar melalui perintah Mahkamah bertarikh 16hb Februari 2008. Setelah semua prosiding telah lengkap, Plaintif telah memberi keterangan secara bertulis tanpa kehadiran Defendan. Kemudian pada hari perbicaraan yang lain iaitu pada 16hb April 2009, kes diteruskan dengan keterangan bertulis dua orang saksi Plaintif iaitu Cik Putri Nuraind Bt Zulkifli [SP-1]. Berhubungan sebagai anak Plaintif dan juga dengan keterangan saksi kedua Plaintif iaitu En. Mohammad Effende Bin Mat Ron [SP-2] berhubungan sebagai kawan Plaintif.

4. Kes ditetapkan untuk keputusan.



ULASAN

1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang di petik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :-

Maksud : “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).”

2. Plaintif sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil.

3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati).

4. Dalam Seksyen 3 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, “keterangan” termasuklah :-
(a) Bayyinah dan Syahadah,
(b) Segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ;
(c) Segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar).

5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala Syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan.

6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya.

7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara Bayyinah, Syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar.

8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :-
a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini.
b) Samada wujud atau tidak Defendan telah cuai memperuntukan nafkah zahir dengan sewajarnya.

Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes.

1. Dari sudut Undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini. Permohonan Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2, 4 dan 50, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Plaintif adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah ini. Plaintif tinggal di No AG-1 Jalan Pandan Indah 3/3, Pandan Indah, 55100 Selangor . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Kad pengenalan Plaintif yang ditandakan sebagai P-1

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 1 - [P - 1]

3. Seksyen 2 Enakmen memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

4. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada.

5. Plaintif dan Defendan juga telah berkahwin menurut Hukum Syara’. Mereka telah diakad nikahkan pada 27hb Februari 1992 di Negeri Sabah dan telah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Negeri Sabah . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Surat Perakuan Nikah Bil 128/92 (KKK).yang ditandakan sebagai P-2.

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 2 - [P – 2]

6. Hasil dari perkahwinan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Putri Nuraind Bt Zulkifli. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar surat kelahiran anak yang ditandakan sebagai P-3

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P – 3]

7. Walaupun tanpa kehadiran Defendan, kuasa ekslusif telah diberikan oleh undang-undang kepada Mahkamah untuk membicarakan sesuatu kes, dengan syarat penyampaian yang wajar telah dilaksanakan. Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan :-
- Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran- (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya;

8. Sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berjalan, kes ini telah berjalan berperingkat untuk keterangan Plaintif dan saksi-saksi, tangguhan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Defendan untuk hadir bagi menjawab tuntutan Plaintif. Walaubagaimanapun, sepanjang tempoh sebutan sehingga perbicaraan, Defendan tidak pernah hadir.

9. Maka dari segi undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini, walaupun tanpa kehadiran Defendan.

Isu Kedua : Samada wujud atau tidak Defenden telah abai memberikan nafkah zahir sewajarnya kepada (Plaintif)

a) Dalam kes ini, Plaintif hanya mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan tiada memberi nafkah selama tiga (3) bulan atau lebih lamanya.

10. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :-

a) Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya.

11. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi .

12. Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya.

a) Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah mengabaikan dengan pemberian nafkah zahir melebihi tiga bulan sejak Defendan meninggalkan Plaintif di rumah ibu bapa Plaintif pada bulan Disember 1997 sehingga sekarang.

b) Defendan telah meninggalkan Plaintif di rumah ibu bapa Plaintif di Sabah. Selama tinggal di Sabah Plaintif tidak diberi nafkah baik makan,minum, pakaian dan sebagainya. Plaintif ditinggalkan Defendan tanpa sebarang nafkah selama 5 tahun lebih dari Disember 1997 sehingga tahun 2002.

c) Pada 03hb januari 2008 Plaintif juga telah membuat laporan polis di Balai Pandan Indah , Selangor bahawa beliau telah ditinggalkan Defendan sejak 30hb Disember 1997 dan menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui di mana Defendan berada dan menghilangkan diri tanpa sebarang nafkah zahir dan b atin kepada Plaintif.

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 4 - [P –4]

d) Sehinggalah pada bulan Disember 2002 Plaintif telah berhijrah ke
Semenangjung dan tinggal di Kuala Lumpur bersama anaknya sehingga ke hari ini.

e) Dengan Pendapatan Plaintif sebagai promoter di pasaraya SOGO dengan syarikat L.S APPAREL Sdn Bhd beralamat di Taman Shamelin Perkasa, 56100 Cheras, Kuala Lumpur, digunakan sepenuhnya untuk menampung kehidupan Plaintif dan anak-anak..

f) Plaintif juga menanggung semua pembelanjaan dan keperluan rumah. Plaintif juga terpaksa membayar bil elektrik ,air dan keperluan anak serta persekolahan tanpa bantuan Defendan .

f) Defendan tidak pernah datang ke rumah tersebut. Sepanjang tempoh itu juga, tiada nafkah dari Defendan atau wakil atau keluarga Defendan memberi nafkah kepada Plaintif.

g) Fakta-fakta ini telah disokong oleh saksi-saksi Plaintif. SP-1 Plaintif iaitu hubungan sebagai anak kandung Plaintif (SP-1) menyatakan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan Defendan ketika tinggal di rumah tersebut. Defendan tidak menyediakan nafkah dan wang perbelanjaan kepada Plaintif dan beliau sebagai anak. Keterangan ini sokong oleh keterangan SP-1 dan SP-2 iaitu kawan Plaintif.

h) SP-1 dan SP-2 pula mengakui kesemua perbelanjaan Plaintif adalah ditanggung oleh hasil duit gaji Plaintif sendiri.

i) SP-2 juga sering membantu Plaintif dalam urusan kewangan, urusan rumahtangga Plaintif apabila Plaintif mengalami masalah kewangan dan sebagainya.

j) SP-2 menyatakan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan Defendan di rumah Plaintif apabila beliau melawat ke rumah tersebut, dan mengakui bahawa Plaintif hanya tinggal bersama anaknya seorang sahaja .

a. Plaintif juga menyatakan bahawa bebanan kewangan serta tanggungjawab keluarga ditanggung oleh Plaintif seorang sahaja .Defendan tidak pernah datang memberikan nafkah serta tidak mengambil tahu masalah keluarga dan membiarkan Plaintif menguruskan sendiri.

b. SP-1 dan SP-2 pula mengakui Defendan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dan meletakkan kesemua tanggungjawab di bahu Plaintif.

k) Beban pembuktian terhadap dakwaan berhubung dengan nafkah menjadi tanggungan ke atas suami (Defendan) untuk membuktikannya tetapi Defendan tidak hadir untuk menafikannya.

1. Mahkamah boleh berbalik kepada qaedah fiqh yang berbunyi:-

Maksud : “Asal sesuatu itu tidak ada”.


l) Maksud kaedah ini, asal sesuatu itu tidak ada, atau tidak wujud jika tidak dibuktikan sebaliknya. Ini adalah satu anggapan yang boleh ditolak dengan cara dibuktikan sebaliknya.

m) Dalam persoalan ini, asalnya nafkah oleh Defendan disifatkan tidak diberi, melainkan Defendan membuktikan dia ada memberi nafkah. Defendan tidak hadir untuk membuktikan bahawa dia ada memberi nafkah kepada Plaintif

n) Dalam kes ini, kedua-dua saksi konsisten menyatakan bahawa tidak ada wakil Defendan memberi nafkah kepada Plaintif.

o) Plaintif juga tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah yang menghilangkan kelayakannya untuk mendapat nafkah zahir daripada Defendan. Ini disokong oleh keterangan kesemua saksi-saksi Plaintif .

p) Jadi jelaslah, bahawa persoalan sama ada benar Defendan gagal mengadakan peruntukan nafkah zahir selama tempoh tiga (3) bulan dengan demikian jelas terjawab dengan keterangan Plaintif dan saksi-saksinya.

Kami menghujahkan bahawa keterangan SP-1 dan SP-2 merupakan Syahadah yang mencapai tahap yakin sebagaimana dalam kaedah pembuktian Islam. Saksi-saksi ini melihat dan menyaksikan sendiri keadaan Plaintif.

q) Kedua-dua saksi telah memberikan keterangan terhadap Defendan bagi membuktikan Defendan telah tidak memberi nafkah zahir lebih tiga bulan, dan Defendan atau wakilnya tidak memberi nafkah selama tempoh tersebut, sedangkan Plaintif masih taatkan Defendan.

r) Tidak ada percanggahan fakta antara dakwaan Plaintif dan keterangan kedua-dua saksi ini. Dan sewajarnya Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi ini sebagai Syahadah dan Bayyinah.

s) Keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi Plaintif membuktikan kepada Mahkamah bahawa Defendan telah gagal memberi nafkah .

KESIMPULAN

1. Hukum Syara’ dan Undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan suami isteri berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah di sisi Hukum Syara’.

2. Antara alasannya ialah apabila suami tidak memberi nafkah yang wajib kepada isteri untuk suatu tempoh tertentu.

3. Rasulullah S.A.W ada bersabda dalam kitab Subul al-Salam juzuk 4, bab talaq, sabdanya:
“ Berkenaan seorang lelaki yang tidak mengadakan peruntukan nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan di antara keduanya.”

4. Fahaman daripada hadith tersebut bahawa seorang lelaki yang tidak memperuntukkan nafkah sama ada disebabkan kesukaran atau dengan sebab keingkarannya, bolehlah dipisahkan.

5. Manakala di dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa, Yang Arif Hakim Abu Bakar ada mengatakan:-
“Tidak memberi nafkah atau tidak mengadakan nafkah kepada isteri boleh menjadi kesukaran dan kesusahan dalam meneruskan hidup kerana nafkah adalah keperluan asas untuk hidup di mana mengikut Qawaid al-Fiqhiyyah bermaksud:

“Kemudaratan diharuskan (dibolehkan) perkara yang ditegah. Ini bermaksud cerai adalah perkara yang sangat dibenci oleh Allah tetapi dihalalkan dengan tujuan menolak perkara yang lebih berat dengan tiada dapat dilaksanakan kewajipan dan tugas suami isteri dalam rumahtangga.”

6. Di dalam kes Hairun bt. Mohd. Sharif lwn Omar bin Mohd. Noor, Jawatankuasa Rayuan menyatakan bahawa:-
“Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana dianiaya atau darar ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dirar terhadap tubuh badan sahaja malahan lebih luas dari itu........”.

7. Begitu juga di dalam kes Hasnah binti Omar lwn Zaabar bin Mohd Amin, Yang Arif Hakim Dato’ Ismail menyatakan pembubaran perkahwinan secara fasakh adalah dibolehkan:
“ Bahawa suami menganiaya isteri atau antara lain lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupan isteri itu menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya suami. Selain dari itu Mahkamah telah diberi kuasa memerintahkan fasakh berdasarkan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi pembubaran itu.”

8. Dakwaan Plaintif berhubung Defendan tidak memberi nafkah selama tempoh melebihi tiga (3) bulan tidak dapat dibuktikan sebaliknya oleh Defendan. Hanya datang dua kali dan Defendan tidak hadir sepanjang perbicaraan untuk menafikan tuntutan Plaintif.

9. Defendan telah di beri hak untuk membela diri dan membuat pembelaan, tetapi Defendan tidak menggunakan hak yang diberi oleh undang-undang dan Hukum Syara’. Jadi Mahkamah boleh memutuskan walaupun tanpa kehadiran Defendan.

10. Ini bertepatan dengan Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor )2003 memperuntukkan:-
S.121 (1) Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran – (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya;


11. Merujuk kepada peruntukan di bawah 121(2) enekman Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa”

“Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-apa penghakiman mengenai tuntutan Plaintif di bawah perenggan (1) (B) atau tuntutan balas Defendan di bawah perengan (1) (c) mengarahkan Plaintif atau Defendan, mengikut mana-mana yang berkenaan mengangkat sumpah istizhar”. Dalam kes ini Mahkamah berdasarkan kepada peruntukan di bawah seksyen ini wajar mengarahkan Plaintif untuk melakukan Yamin istizhar.

12. Daripada keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan saksi-saksi Plaintif, dokumen-dokumen yang dikemukakan, dan prosedur-prosedur yang telah dijalankan dan disempurnakan, jelas membuktikan bahawa berlaku perkara-perkara sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif. Dan Mahkamah boleh menfasakhkan pernikahan antara Plaintif dan Defendan.

13. Maka berdasarkan kepada keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen yang dikemukakan, maka sayugialah Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif sebagaimana yang dipohon.

Read More......

HUJAHAN PENGGULUNGAN NIKAH SENDIKET

H U J A H P E N G G U L U N G A N

MUKADIMAH

1. Pemohon memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan dan mendaftakan pernikahan mereka pada 02hb Oktober 2004 bertempat di Gopeng, Perak Darul Ridzuan sebagaimana di bawah seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)1984.

2. Pemohon I dan Pemohon II telah memfailkan permohonan tersebut pada 19hb Februari 2009. Pada 17hb Februari 2009, Pemohon I telah melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates bagi mewakili Pemohon I dan Pemohon II di Mahkamah.

3. Kes perbicaraan telah bermula pada 10hb Mac 2009 dan keterangan Pemohon I dan pemohon II telah diambil pada tarikh 7hb April 2009 tersebut berserta keterangan wali “Abang kandung” Iaitu En Mohd Azman Bin Abd kadir .


4. Kes telah ditetapkan pada 19hb Mei 2009 untuk Peguam Syarie Pemohon memasukkan hujahan bertulis sebelum Mahkamah membuat keputusan.




ULASAN

1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang dipetik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :-

Maksud: “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut)dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).”

2. Pemohon I dan Pemohon II sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil.

3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati).

4. Dalam Seksyen 3 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1993, “keterangan” termasuklah :-
(a) bayyinah dan syahadah,
(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ;
(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar).

5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan.

6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya.

7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara bayyinah, syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar.

8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :-

(a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

(b) Samada Pernikahan tersebut yang berlangsung pada 02hb Oktober 2004 di Gopeng, Perak adalah Sah mengikut hukum Syara atau Tidak

Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes.

1. Merujuk kes ini dari sudut undang-undang, bahawa Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidangkuasa untuk mendengar kes ini kerana ia telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2,4 dan 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984

2. Pemohon I adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar serta alamat yang tertera di kad pengenalan Pemohon I yang secara jelas menunjukkan bahawa pihak Pemohon tinggal di dalam Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian,



3. Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan yang difailkan oleh pihak Pemohon I dan Pemohon II tersebut.

4. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

5. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada.

Isu Kedua: Samada Pernikahan tersebut yang berlangsung pada 02hb Oktober 2004 di Gopeng, Perak Darul Ridzuan adakah Sah dari hukum Syara atau Tidak

1. Pemohon I dan Pemohon II telah mengemukakan dakwaan bahawa pada 02hb Oktober 2004 telah berlaku akad nikah diantara Pemohon I dengan Pemohon II . Pernikahan tersebut telah diwalikan oleh wali nasab serta disaksikan dua orang saksi .

2. Dokumen Surat Nikah tersebut adalah keterangan dokumentar yang membuktikan fakta wujudnya pernikahan tersebut .

3. Pemohon I semasa keterangan lisannya menyatakan pernikahan tersebut telah diuruskan oleh orang lain,iaitu Abd talib Bin Abd Majid. Pemohon sendiri tidak mengetahui surat nikah tersebut adalah Palsu.

4. Keterangan dokumentar ini dikuatkan lagi dengan keterangan Pemohon II, serta Wali yang turut hadir dan menjadi saksi pernikahan tersebut.

5. Semasa upacara pernikahan tersebut Pemohon I, Pemohon II telah melihat sendiri wali kepada Pemohon II iaitu En Mohd Azman Bin Abd Kadir telah mewakil walikan kepada juru nikah untuk menikahi anaknya iaitu Pemohon II. Pernikahan tersebut telah diwalikan oleh ayah kandung sendiri .

6. Pernikahan tersebut telah diakad nikahkan oleh Ustaz yang tidak diketahui namanya serta telah disahkan oleh dua orang saksi. Iaitu saksi pertama En Abd Talib Bin Abd majid dan saksi kedua iaitu En Muin Bin Bistami .

7. Jadi kami menghujahkan bahawa Pemohon I dan Pemohon II telah dapat membuktikan kepada Mahkamah di tahap yakin, bahawa telah berlakunya pernikahan pada hari tersebut.

ULASAN
FAKTA-FAKTA KES DAN HUJAH

1. Merujuk permohonan ini, beberapa perkara asas perlu diperjelaskan serta dibuktikan terlebih dahulu di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini ke peringkat/tahap yakin untuk disahkan sebelum diperintahkan didaftarkan.

2. Kerana sudah pasti, apa-apa permohonan yang belum disahkan oleh pihak Mahkamah akan wujud unsur-unsur keraguan berhubung kesahihan sesuatu pernikahan sebelum disahkan serta diperintahkan sebelum didaftarkan pernikahan tersebut di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

3. Persoalan pertama yang timbul dan wajib diberi perhatian berhubung permohonan ini ialah upacara akad nikah tersebut dilangsungkan, adakah ianya bertepatan dengan Hukum Syarak. Adakah akad tersebut ada mencakupi/memenuhi rukun-rukun pernikahan yang menjadi pra-syarat penting sahnya sesuatu pernikahan ataupun pernikahan tersebut sekadar dijalankan tanpa mengikut prosedur yang betul untuk dibenarkan didaftarkan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

4. Bagi menjawab dan memperjelaskan isu tersebut, perkara pertama yang perlu dirujuk dan diberi keutamaan berkaitan dengan rukun-rukun nikah. Syariat Islam mengariskan bahawa rukun-rukun pernikahan ada lima perkara iaitu :

i. Mempelai lelaki
ii. Mempelai wanita
iii Wali
iv. Dua orang saksi lelaki
v. Sighah (lafaz Ijab dan Qabul).

5. Berdasarkan persoalan tersebut, pihak kami berhujah berdasarkan kepada keterangan utama pihak Pemohon I dan Pemohon II yang diiqrarkan dalam Afidavit sebagai keterangan Mahkamah . Pemohon I mengakui secara terbuka bahawa Pemohon I telah bernikah dengan Pemohon II, pada 02hb Oktober 2004 bertempat di Gopeng, Perak Darul Ridzuan dengan kata lain di antara mereka telah pun mempunyai ikatan/ pertalian suami isteri.

6. Mengikut kaedah Usul Fiqh “Seseorang itu terikat dengan pengakuannya”. Jadi pengakuan bersumpah tersebut secara langsung mengikat Pemohon berhubung fakta tersebut. Malah fakta tersebut turut diakui oleh Wali yang dipanggil untuk memberikan keterangan.

7. Dari keterangan tersebut, tanpa sebarang prasangka dan syak termasuklah disokong oleh Wali. Ini jelas menunjukkan bahawa pernikahan tersebut melibatkan diantara Pemohon I dan Pemohon II.


8. Pemohon I juga ada mengakui serta memberitahu Mahkamah bahawa status beliau semasa pernikahan tersebut dilangsungkan adalah sudah beristeri dan Pemohon II adalah anak dara.

9. Dalam keterangan Pemohon I dan pemohon II ada menyatakan kepada Mahkamah bahawa Pernikahan mereka tiada sebarang paksaan ke atas pihak-pihak. Malah pihak-pihak bernikah atas kerelaan hati masing-masing.

10. Bagi membuktikan dan memperkuatkan lagi kewujudan pernikahan tersebut, pihak kami berhujah berdasarkan satu kaedah fiqh yang boleh diguna pakai dalam mengesahkan kewujudan pernikahan tersebut. Asal sesuatu itu tidak

ada. Asal sesuatu perkara itu tidak ada melainkan dibuktikan sebaliknya. Dalam hal ini, pada asalnya pernikahan tersebut tidak ada/wujud. Oleh kerana keterangan Pemohon I Pemohon II boleh diterima sebagai hujah yang kuat serta disokong oleh keterangan-keterangan wali, maka tidak syak lagi wujudnya pernikahan tersebut antara pihak-pihak.

11. Disamping itu juga tidak timbul lagi sebarang syak dan tohmahan, realitinya akad nikah tersebut dijalankan/dilangsungkan menepati kaedah Hukum Syarak. Kesahihan fakta tersebut dibuktikan lagi dalam keterangan Pemohon bahawa wujudnya Sighah (lafaz ijab dan Qabul) dalam pernikahan tersebut.

12. Mengikut Syariat Islam, Sighah ialah lafaz Ijab Qabul dalam sesuatu pernikahan adalah dalil zahir yang menunjukkan kerelaan kedua-dua belah pihak yang mengadakan akad tersebut. Oleh demikian itu wujudnya Sighah tersebut secara zahirnya menandakan wujudnya kerelaan pihak-pihak untuk bernikah.

13. Menyentuh perlaksanaan Sighah dalam pernikahan tersebut juga berdasarkan keterangan pihak-pihak, jelas menunjukkan mencakupi syarat-syarat Sighah sebagaimana yang digariskan di dalam Kitab Fikah Mazhab Syafie (Fiqh Manhaji) iaitu :

i. Hendaklah menggunakan Lafaz Nikah atau Kahwin.
ii. Lafaz Ijab dan Qabul hendaklah disebut secara jelas dan terang.
iii. Ijab dan Qabul bersambung.
iv. Pengantin lelaki dan wali waras sehingga selesai akad.
v. Sighah menunjukkan akad berlaku ketika itu juga.
vi. Sighah mesti mutlak.

14. Mengulas keterangan Pemohon-Pemohon juga berhubung halangan pernikahan tersebut, tidak berbangkit sebarang masalah dari sudut Hukum Syarak, memandangkan tidak ada sebarang bukti yang boleh menghalang kesahihan pernikahan tersebut khususnya dari sudut hubungan kekeluargaan/ pertalian darah/ susuan/ tidak berada dalam ihram haji dan pinangan antara pihak-pihak.

15. Dalam kes ini Pemohon berhujah bahawa mereka tidak terhalang dan berkeupayaan untuk berkahwin menurut hukum syara, dengan keadaan tersebut ianya telah memenuhi rukun nikah tersebut.

16. Malah, kesahihan pernikahan tersebut juga disokong oleh keterangan Pemohon-Pemohon yang memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pernikahan tersebut telah diwalikan oleh Ayah kandung Pemohon II sendiri.

17. Berlandaskan keterangan tersebut juga, secara jelas memperlihatkan bahawa pernikahan tersebut diadakan dengan menggunakan wali akrab (nasab) bagi pihak Pemohon II. Perkara tersebut selaras dengan tuntutan Hukum Syarak sebagaimana yang disebut serta dita’kid oleh Imam Syafie : pernikahan seorang perempuan tidak sah kecuali apabila dinikahkan oleh wali akrab (dekat). Kalau tidak ada wali akrab dinikahkan oleh wali ab’ad (jauh). Kalau tidak ada dinikahkan oleh Penguasa (wali hakim).

18. Rasulullah saw bersabda maksudnya:-
“Dari ibnu Abbas bersabda Rasulullah saw bersabda : Tidak sah pernikahan kecuali dengan wali dan sultan adalah wali dari orang yang tidak mempunyai wali (HR Ath Thabrani) (Drs H.Djaman Nur , Fiqh Munakahat, hln:74)

19. Pemohon juga ada menggambarkan kepada Mahkamah sebelum upacara akad nikah dijalankan (Ijab dan Qabul), wali iaitu Ayah Kandung Pemohon II, ada melafazkan wakil wali kepada Jurunikah untuk menikahkan Pemohon II. Sejurus itu akad nikah dijalankan dengan disaksikan oleh (2) dua orang saksi lelaki, dengan dimulakan Ijab oleh Jurunikah dan Qabul oleh Pemohon I.

20. Wujudnya (2) dua orang saksi lelaki yang dalam pernikahan tersebut telah menangkis segala keraguan yang timbul dalam pernikahan tersebut, ini memandangkan Islam telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan kehadiran (2) dua orang saksi lelaki untuk menyaksikan akad nikah tersebut.

21. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Tidak ada perkahwinan tanpa wali dan dua orang saksi yang adil. Perkahwinan yang selain dari itu adalah batal.”- Riwayat Ibnu Habban.

22. Rentetan dari prosiding tersebut juga, Pemohon ada memberitahu Mahkamah bahawa Mas Kahwin pernikahan tersebut sebanyak RM 22.50 tunai.

23. Sikap positif Pemohon I yang ada menyediakan mahar sebanyak RM 22.50 tunai serta hantaran sebanyak RM2,000.00 kepada Pemohon II bertepatan dengan kehendak Syariat Islam yang memberi hak jelas kepada wanita yang hendak dikahwini.

24. Ini sebagaimana yang terkandung di dalam Firman Allah S.W.T dalam surah An Nisa’ ayat 4 yang berbunyi : “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah pemberian itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

25. Lazimnya dalam masyarakat kita mahar (maskahwin) adalah sesuatu pemberian dalam sesuatu pernikahan, oleh sebab itu nyata dan jelas fakta tersebut menunjukkan bahawa tidak diragui bahawa wujud pernikahan tersebut.

26. Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan oleh Pemohon I dan pemohon II,serta wali yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ternyata tiada sebarang percanggahan berkaitan isu yang dibangkitkan.

27. Begitu juga, perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam kes ini iaitu segala keterangan tersebut adalah tidak bercanggah di antara satu sama lain dan kesemuanya adalah kearah menyokong atau menguatkan lagi segala keterangan Pemohon-Pemohon dan tidak timbul apa-apa syak yang menunjukkan bahawa mereka bersepakat atau cuba memberi keterangan palsu.


Maka ini adalah merupakan qarinah yang menunjukkan bahawa secara asasnya segala keterangan yang telah dikemukakan oleh Pemohon serta saksi-saksi adalah benar, mencukupi dan boleh diterima pakai untuk meluluskan permohonan ini.

28. Secara khususnya, sejarah perundangan Islam tidak pernah menafikan hujah dan keterangan yang berupa Baiyyinah, ikrar, Qarinah, alamat dan keadaan yang menentukan ataupun menjelaskan sesuatu hak. Bahkan terdapat sumber dari sejarah perundangan Islam yang telah menunjukkan para Ulama’ telah mengambil kira kesemuanya itu dari proses perbicaraan ataupun menjatuhkan hukuman.

29. Ini jelas sebagaimana pendapat Ibn Qayyim yang menyatakan bahawa :-

“Sesungguhnya Syariat Islam adalah tidak menolak akan segala yang menerangkan hak, dan tidak menafikan akan segala perkara yang menjadi penunjuk atau pun dalil kepada sesuatu dan tidak membatalkan akan segala alamat atau tanda yang sahih yang menunjukkan kepada sesuatu hak”.

30. Beban pembuktian yang dipikul oleh Pemohon telah berjaya dipenuhi di mana Pemohon telah berjaya membuktikan melebihi tahap berat sangka yang menjadi mekanisme dalam kes sebegini. Oleh yang demikian dihujahkan bahawa Pemohon dalam kes ini telah berjaya membuktikan melebihi had zan kepada Mahkamah Yang Mulia Ini.

31. Sebagai sokongan terhadap permohonan ini, Mahkamah juga boleh menerima satu lagi kaedah fiqh yang berbunyi Tanda zahir sesuatu yang tersembunyi mengambil tempatnya. Perkara-perkara yang tersembunyi yang sukar diketahui hakikatnya hendaklah dilihat melalui tanda-tanda luaran. Oleh itu segala keterangan yang diberikan telah mengambil alih perkara tersembunyi yang tidak dapat dizahirkan.

KESIMPULAN

1. Berdasarkan kepada keterangan Pemohon I Dan Pemohon II serta wali yang dikemukakan, ternyata tidak terdapat sebarang percanggahan yang boleh

meragukan fakta-fakta kes. Keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi juga berkait rapat antara satu sama lain. Jelas menunjukkan bahawa wujudnya pernikahan di antara pihak-pihak.

2. Walaupun pernikahan tersebut tidak pernah disahkan dan didaftar di mana-mana Pejabat Agama Islam di Malaysia, namun demikian Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan tersebut berdasarkan peruntukan Seksyen 244 dan 245 Akta Tatacara Mal (Mahkamah Syariah) Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998.

Seksyen 244 (Kuasa sedia ada Mahkamah) pula memperuntukkan bahawa “Tiada apa-apa jua Akta ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa Perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah”

Seksyen 245 Akta Tatacara Mal (Mahkamah Syariah) Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998 (Hukum Syarak) memperuntukkan bahawa :-

(1) Mana-mana peruntukkan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidak selarasan itu.

(2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini hendaklah menggunakan Hukum Syarak.

3. Berdasarkan kepada peruntukan seksyen tersebut, jelas bahawa Mahkamah berbidangkuasa untuk membuat/ memutuskan apa-apa Perintah sekiranya menepati kaedah yang ditetapkan oleh Hukum Syarak.

4. Maka berdasarkan kepada alasan-alasan, hujah-hujah dan bukti-bukti yang dikemukakan, sewajarnya Mahkamah yang mulia ini meluluskan permohonan tersebut.


Read More......

HUJAHAN PENGGULUNGAN PENGESAHAN RUJUK

HUJAH PENGGULUNGAN
PEMOHON

KRONOLOGI

1. Pemohon telah mengemukakan permohonan secara sendiri melalui peruntukan Seksyen 51 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu untuk mengesahkan rujuk .

2. Pemohon telah melafazkan Wakalah Perlantikan Peguam Syarienya En Nahar Bin Alias daripada Tetuan Nahar & Associates manakala Defendan melantik Peguam Syarie En Othman Bin Mohd Salleh dari Tetuan MK OTHMAN & CO.

3. Pada tarikh 30hb April 2009 . Pihak Responden telah memasukkan Penyataan Pembelaan kepada Mahkamah. Kes sebutan telah dimulakan serta diteruskan perbicaraan dengan dimulakan keterangan Pemohon serta Responden pada tarikh yang berlainan .

4. Kes telah ditetapkan untuk keputusan.




ULASAN

1. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :-

(a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini.
(b) Dakwaan berkenaan dengan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan antara Responden dengan Pemohon.

Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes.

1. Merujuk kes ini dari sudut undang-undang, bahawa Mahkamah Yang Mulia ini
adalah berbidangkuasa untuk mendengar kes ini kerana ia telah memenuhi
kehendak peruntukan Seksyen 2,4 dan 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

2. Pemohon adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar serta alamat yang tertera di kad pengenalan Pemohon yang secara jelas menunjukkan bahawa pihak Pemohon tinggal di dalam Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian, Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan yang

3. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

4. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada.

Isu Kedua : Dakwaan berkenaan dengan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan antara Defendan dengan Plaintif.

1. Pemohon mengemukakan adanya perlaku persetubuhan antara Pemohon dan Responden.

1.1) “ Pada 22hb Mac 2009, bekas suami telah datang ke rumah dan juga pada tarikh 23hb Mac 2009 telah bermalam selama 2 hari dan telah melakukan persetubuhan sebanyak 2 kali, semasa itu saya sudah dua kali suci iaitu suci pertama 08hb Februari 2009 dan suci kali kedua 08hb Mac 2009 ".

1.2) Berkenaan persetubuhan tersebut, Responden dalam Pembelaannya mengaku melakukan persetubuhan bersama Pemohon hanya sekali iaitu pada 22hb Mac 2009.

2. Pemohon dalam pengakuan bersumpah mengakui telah berlaku persetubuhan sebanyak dua kali sebagaimana tarikh tersebut, namun berdasarkan pengakuan Responden di dalam keterangan bersumpah di hadapan Mahkamah bahawa beliau mengakui melakukan persetubuhan hanya sekali.

3. Responden juga dalam keterangan bersumpah di Mahkamah menyatakan bahawa Responden melakukan persetubuhan dengan Pemohon dan persetubuhan tersebut tiada langsung niat untuk merujuk kepada Pemohon.

4. Responden menafikan kesemuanya akan wujudkan niat untuk merujuk secara
perbuatan terhadap Pemohon , walaupun persetubuhan berlaku antara Pemohon dan Responden.

ULASAN

1. Doktrin perundangan Islam telah menetapkan suatu asas panduan dalam mensabitkan sesuatu kes di Mahkamah iaitu :-

Maksud :“Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).

2. Dalam kes ini, Pemohon sebagai pihak yang mengemukakan permohonan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga sampai ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan, keterangan dan dalil.

3. Isu utama dalam kes ini ialah tentang pengesahan rujuk melalui perbuatan secara persetubuhan .

4. Sebelum itu Pihak kami akan mengemukan definisi rujuk melalui perbuatan daripada perspektif Fuqaha bagi memudahkan pihak-pihak untuk penyelesaian dalam hal ini.

DEFINISI RUJUK

Rujuk adalah daripada bahasa Arab yang dipakai secara menyeluruh oleh umat Melayu Nusantara dengan pengertian penarikan balik sesuatu. Kamus Dewan pula mentakrifkan rujuk sebagai kembali (kahwin) dengan isteri yang sudah diceraikan mengikut syarat-syarat tertentu. Daripada sosiologi bahasa, rujuk adalah masdar atau kata terbitan raja'a yarji'u ruju'a marji'an yang memberi erti kembali atau balik. Adapun raj'ah atau rij'ah dari segi bahasa adalah masdar marrah dari ruju' ertinya satu nama untuk sekali rujuk atau sekali kembali.

Rujuk daripada sudut istilah syara' ialah mengembalikan isteri yang telah ditalak dengan talak raj'i (bukan bain) kepada perkahwinan asal sebagai tindakan untuk mempertahankan ikatan yang telah dibina. Rujuk tidak memerlukan wali, mas kawin dan tidak juga memerlukan kesediaan isteri yang telah diceraikan. Ini adalah berdasarkan firman Allah:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ
Yang bermaksud: Dan para suami berhak merujuk dalam masa iddah tersebut dengan tujuan yang baik. (al-Baqarah: 228)

Juga firman Allah berikut:
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ
Yang maksudnya: Dan apabila mereka mendekati akhir iddahnya, maka pertahankanlah mereka dengan cara makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara makruf (pula).

Daripada perbahasan ini, kita dapati bahawa apabila wanita yang diceraikan itu mendekati masa akhir iddah mereka, suami mempunyai hak untuk merujuk mereka semula.

Para ulama' mazhab sependapat bahawa wanita yang dirujuk itu hendaklah berada dalam masa iddah bagi talak raj'i. Dengan demikian wanita yang ditalak ba'in sekalipun belum dicampuri tidak boleh dirujuk kerana wanita tersebut tidak mempunyai iddah. Juga para suami tidak berhak merujuk wanita yang di talak tiga kerana Islam mensyaratkan untuk kembali kepada isteri yang ditalak tiga memerlukan seorang muhallil.

Ulama' juga telah sepakat menyatakan bahawa rujuk boleh dilakukan dengan ucapan (perkataan) namun kalimah yang digunakan mestilah jelas dan memberi maksud rujuk. Namun begitu para ulama' berbeza pandangan berkaitan perihal rujuk yang dilakukan dengan perbuatan seperti bersetubuh atau pendahuluan-pendahuluan ke arah persetubuhan seperti ciuman, cumbuan, pelukan, rabaan dan sebagainya yang menjurus ke arah persetubuhan tanpa di awali dengan ucapan atau lafaz yang menunjukkan kepada rujuk.

Para Ulama' Mazhab Shafie berpandangan bahawa rujuk mesti dilakukan dengan ucapan atau tulisan. Justeru itu, para ulama' mazhab shafie berpandangan bahawa rujuk yang dilakukan dengan perbuatan adalah tidak sah walaupun perbuatan itu diniatkan sebagai rujuk. Dalam soal ini, golongan ini menyatakan bahawa haram bagi suami mencampuri isterinya dalam iddah melainkan setelah merujuknya melalui lafaz. Jika suami mencampuri isterinya, ia harus membayar mahar mithil kerana percampuran tersebut tergolong dalam percampuran syubhat.

Fuqaha' Mazhab Maliki berpandangan bahawa rujuk sah dilakukan dengan perbuatan yang disertai dengan niat rujuk. Jika suami mencampuri isterinya tersebut tanpa niat, rujuk tidak akan terjadi. Namun percampuran tersebut tidak mengakibatkan adanya hukuman hadd ataupun tidak diwajibkan membayar mahar. Manakala anak yang dilahirkan hasil daripada pesetubuhan itu masih dikaitkan nasabnya kepada lelaki tersebut.

Fuqaha' Mazhab Hanbali pula berpandangan bahawa rujuk melalui perbuatan hanya boleh terjadi melalui persetubuhan. Oleh itu, rujuk akan terjadi sekalipun perkara tersebut tidak diniatkan oleh suami. Jika hanya perbuatan selain daripada persebubuhan seperti sentuhan, rabaan, ciuman, pelukan dan sebagainya tidak dianggap sebagai rujuk.

Fuqaha' Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi melalui persetubuhan, sentuhan dan ciuman dan perbuatan yang seumpamanya yang dilakukan oleh lelaki yang melafazkan talak terhadap isterinya dengan syarat semua yang dilakukan tersebut dengan nafsu syahwat. Dalam soal ini juga, fuqaha' Mazhab ini berpandangan bahawa rujuk juga sah dilakukan oleh orang yang tertidur, lupa, dipaksa dan gila. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menceraikan isterinya, selepas beberapa ketika dia gila , kemudian dia melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum habis waktu iddah, rujuk tersebut dikira sah.

Manakala fuqaha' Syiah Imammiyyah berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi dengan persetubuhan, ciuman dan sentuhan sama ada dilakukan dengan syahwat atau pun tidak dan tidak memerlukan pendahuluan berupa ucapan. Perbuatan tersebut juga tidak memerlukan niat rujuk.

KESIMPULAN

1. Mahkamah yang mulia ini hendaklah mengambilkira pengakuan dan keterangan Pemohon serta Responden dalam kes ini.

2. Y.A Hakim sebelum memutuskan sesuatu hukuman hendaklah mendengar, memahami dan mengkaji perkara-perkara berhubung dengan kes tersebut termasuklah fakta, undang-undang dan prosedur yang berkenaan, mendengar keterangan pihak-pihak dengan sabar dan tenang, sehingga Y.A Hakim berpuashati untuk memutuskannya, sebagaimana yang diarahkan oleh Khalifah Umar di dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asyari, di antara lain beliau berkata : “Sesungguhnya kehakiman adalah suatu kewajipan mutlak dan sunnah yang diikuti. Fahamilah sesuatu perkara (kes) itu terlebih dahulu apabila ianya dihadapkan kepadamu..........”

3. Persoalan-persoalan inilah yang perlu diteliti dan diadili sepenuhnya oleh Mahkamah yang mulia ini dalam menentukan kedudukan rujuk melalui perbuatan iaitu persetubuhan yang telah dibuat oleh Responden terhadap Pemohon tersebut.

4. Dalam kes ini, Mahkamah yang mulia ini perlulah mengambil kira latar belakang dan suasana sebelum, semasa dan selepas persetubuhan tersebut dibuat dalam memutuskan adakah rujuk tersebut adakah sah atau tidah sah pada tarikh tersebut.

5. Kami juga menghujahkan bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang dan Hukum Syara’ sekiranya Mahkamah menerima pakai pandangan ulama’ Mutaakhirin, demi menjaga kemaslahatan, mengelakkan keburukan dan penganiayaan terhadap pihak-pihak yang terlibat.

6. Mahkamah boleh menerimapakai doktrin Masyaqqah dan hukum keringanan menurut prinsip Syariat Islam, di mana dalam konteks maqasid al-Syari’ah (tujuan syariat) selalunya diikuti dengan perbincangan konsep al-taisir (memudahkan), rukhsah (kelonggaran) dan al-takhfif (meringankan). Doktrin al-Masyaqqah ini sebenarnya dibincangkan oleh para ulama’ di bawah tajuk al-dharurah. Antara kaedah yang terpakai dalam konsep al-dharurah ialah :-

“Kesulitan itu membawa kepada kesenangan atau kemudahan.”

Maksud : “Allah menghendaki kesenangan pada kamu dan Dia tidak menghendaki kesusahan pada kamu.” - Surah al-Baqarah ayat 185.

Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud :- “Aku diutuskan dengan agama yang suci dan mudah (memberi kelonggaran) - Riwayat Ahmad.

7. Doktrin masyaqqah ialah bahawa kesulitan dan kesusahan itu menjadi sebab bagi kelonggaran dan kemudahan, dan pada waktu kesempitan mesti ada kelonggaran.
8. Maka berdasarkan kepada dalil-dalil, bukti-bukti, hujah-hujah dan alasan yang diberikan maka sewajarnya Mahkamah yang mulia memutuskan permohonan Pemohon.


Read More......

HUJAH PENGGULUNGAN CERAI FASAKH

HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF


1. Plaintif memohon perceraian secara Fasakh di bawah Seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984.

2. Pada 03hb Disember 2008 Plaintif melafazkan wakalah melantik Peguam Syarie En. Nahar Alias dari Tetuan Nahar & Associates. Plaintif telah memfailkan permohonan tersebut melalui Peguam Syarie Plaintif pada tarikh yang sama 03hb Disember 2008 dan semasa perbicaraan Defendan tidak pernah hadir sepanjang kes di Mahkamah .

3. Pada 18hb Disember 2008 sebutan pertama dan setelah prosiding penyampaian disempurnakan serta prosiding semuanya telah lengkap. Maka pada 15hb Januari 2009, Plaintif pada hari tersebut telah memberi keterangan dengan tanpa kehadiran Defendan, Kemudian pada hari perbicaraan yang lain iaitu pada 16hb Februari 2009 , kes diteruskan dengan keterangan seorang saksi Plaintif iaitu En. Salbiah Bt Wasidin [SP-1], merupakan kakak ipar Plaintif dan juga dengan keterangan saksi kedua Plaintif iaitu En. Mohd Amin Al-Hussaini Bin Shaari [SP-2] berhubungan sebagai Abang Plaintif

4. Kes ditetapkan untuk keputusan.



ULASAN

1. Beban pembuktian menurut doktrin perundangan Islam adalah berdasarkan suatu kaedah yang dipetik dari Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi :-

Maksud: “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang engkar (menafikan).”

2. Plaintif sebagai pihak yang mengemukakan dakwaan hendaklah membuktikan kesemua dakwaannya sehingga ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan dan dalil.

3. Kaedah-kaedah pembuktian (wasa’il al-ithbat) dalam mengemukakan eviden atau bukti samada yang disepakati atau yang tidak disepakati oleh ulama merangkumi kesaksian, iqrar, nukul al-yamin, (yang disepakati) ilmu al-qadhi, kitabah, qarinah, pendapat pakar, khabar, qiyafah, qasamah, li’an dan undian (yang tidak disepakati).

4. Dalam Seksyen 3 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984 , “keterangan” termasuklah :-
(a) bayyinah dan syahadah,
(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat (keterangan lisan) ;
(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah (keterangan dokumentar).





5. Bayyinah ialah keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Manakala syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan.

6. ‘Dokumen’ ialah apa-apa perkara yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua peranti lain, dengan menggunakan huruf, angka, tanda, rakaman visual, rakaman bunyi, dan sebagainya.

7. Dalam kes ini, keterangan telah diberikan kepada Mahkamah secara bayyinah, syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumentar.

8. Dalam kes ini, beberapa isu-isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah tentang :-
(a) Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes ini.
(b) Samada wujud atau tidak Defendan telah cuai memperuntukkan nafkah zahir dengan sewajarnya.
(c) Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita.
(d) Wujud perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan.

Isu pertama : Bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes.

9. Dari sudut undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini. Permohonan Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 2, 4 dan 50, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984.


10. Plaintif adalah seorang yang bermastautin dalam daerah bidangkuasa Mahkamah ini. Plaintif tinggal di No .1-3-4 Jalan 5/149B, Taman Sri Endah, Seri Petaling , 5700 Kuala Lumpur . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Kad Pengenalan Plaintif yang ditandakan sebagai P-1

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 2 - [P - 1]

11. Seksyen 2 Akta memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

12. Dalam kes Sharifah Laila binti Syed Shamdin -lwn- Abdul Latif bin Arshad, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam sesuatu kawasan atau pada kelazimannya tinggal di sesuatu kawasan. Tidak disyaratkan menjadi rakyat negeri di kawasan ia berada.

13. Plaintif dan Defendan juga telah berkahwin menurut Hukum Syara’. Mereka telah di akad nikahkan pada 22hb Februari 1992 di Parit, Perak dan telah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Parit , Perak Darul Ridzuan dengan berwalikan Ayah Kandung Plaintif serta disaksikan oleh dua (2) orang saksi lelaki. Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Surat Perakuan Nikah Bil 6/92 dengan No 011763 yang ditandakan sebagai P-2.

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P – 2]

14. Walaupun tanpa kehadiran Defendan, kuasa ekslusif telah diberikan oleh undang-undang kepada Mahkamah untuk membicarakan sesuatu kes, dengan syarat penyampaian yang wajar telah dilaksanakan. Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :-
- Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran- (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya;

15. Sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berjalan, kes ini telah berjalan berperingkat untuk keterangan Plaintif dan saksi-saksi. Tangguhan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Defendan untuk hadir bagi menjawab tuntutan Plaintif. Walaubagaimanapun, sepanjang tempoh sebutan sehingga perbicaraan, Defendan tidak pernah hadir.

16. Maka dari segi undang-undang, Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini, walaupun tanpa kehadiran Defendan.

Isu Kedua : Samada wujud atau tidak Defenden telah abai memberikan nafkah zahir sewajarnya kepada (Plaintif)

a. Dalam kes ini, Plaintif hanya mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan tiada memberi nafkah selama tiga (3) bulan atau lebih lamanya.

17. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :-

a. Defendan telah abai memberikan nafkah zahir kepada Plaintif selama 3 bulan dengan sewajarnya.

18. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi .




a. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah mengabaikan dengan pemberian nafkah zahir sejak Defendan mengalami satu kemalangan jalan raya pada bulan Januari 2008. Selepas Defendan sihat daripada kecederaan pada bulan April 2008 Defendan terus tidak bekerja. Defendan langsung tidak mahu bekerja walaupun Defendan telah sihat sepernuhnya menyebabkan Plaintif terpaksa menyara keluarga.

b. Dengan Pendapatan Plaintif sebagai Perlukis Pelan di Syarikat Juru Ukur Perunding , No 116, Jalan Radin Anum, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

c. Dengan pendapatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk menampung kehidupan Plaintif dan anak-anak.

d. Plaintif juga menanggung semua perbelanjaan dan keperluan rumah. Plaintif juga terpaksa membayar sewa rumah, bil elektrik, air dan keperluan anak tanpa sedikitpun dibantu oleh Defendan.

e. Sepanjang tempoh itu juga, tiada nafkah dari Defendan atau wakil atau keluarga Defendan memberi nafkah kepada Plaintif.

f. Plaintif juga tepaksa meminjam dan meminta bantuan daripada Abang Plaintif iaitu SP-2 apabila mengalami masalah kewangan.

g. Fakta-fakta ini telah disokong oleh saksi-saksi Plaintif SP-1 dan SP-2 iaitu hubungan sebagai Kakak Ipar dan Abang kandung. Plaintif mengakui semua keterangan itu adalah benar. Sejak kemalangan tersebut Defendan tidak bekerja dan Defendan langsung tidak menyediakan nafkah dan wang perbelanjaan kepada Plaintif. Keterangan ini sokong oleh keterangan SP-1 dan SP-2 .

h. SP-1 dan SP-2 pula mengakui kesemua perbelanjaan Plaintif adalah ditanggung oleh hasil duit gaji Plaintif sendiri.

i. SP-2 juga sering membantu Plaintif dalam urusan rumah tangga mereka dan memberikan pertolongan kewangan mahupun bantuan lain apabila Plaintif mengalami masalah kewangan dan sebagainya.

j. Plaintif juga menyatakan bahawa bebanan kewangan serta tanggungjawab keluarga ditanggung oleh Plaintif seorang sahaja.

k. Meletakkan kesemua tanggungjawab di bahu Plaintif, SP-1 dan SP-2 pula mengakui Defendan tidak mahu bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami.

19. Beban pembuktian terhadap dakwaan berhubung dengan nafkah menjadi tanggungan ke atas suami (Defendan) untuk membuktikannya tetapi Defendan tidak hadir untuk menafikannya.

20. Mahkamah boleh berbalik kepada qaedah fiqh yang berbunyi:-

Maksud : “Asal sesuatu itu tidak ada”.

21. Maksud kaedah ini, asal sesuatu itu tidak ada, atau tidak wujud jika tidak dibuktikan sebaliknya. Ini adalah satu anggapan yang boleh ditolak dengan cara dibuktikan sebaliknya.

22. Dalam persoalan ini, asalnya nafkah oleh Defendan disifatkan tidak diberi, melainkan Defendan membuktikan dia ada memberi nafkah. Defendan tidak hadir untuk membuktikan bahawa dia ada memberi nafkah kepada Plaintif.




23. Dalam kes ini, kedua-dua saksi konsisten menyatakan bahawa tidak ada wakil Defendan memberi nafkah kepada Plaintif.

Isu Ketiga : Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita

a. Dalam kes ini, Plaintif mengemukakan dakwaan , iaitu ; Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita .

24. Beberapa elemen penting yang terdapat dalam kes tersebut, iaitu :-

a. Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita .

25. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi .

a. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa Defendan telah menyakiti dan menjadikan hidup Plaintif menderita. Defendan juga sering memaki hamun serta sering berlaku pergaduhan di antara Plaintif dan Defendan.

b. Pada 03hb September 2008 Defendan telah bertindak menampar muka Plaintif sebanyak empat ke lima kali semasa berada di dalam kereta tanpa rasa kasihan . Ini dibuktikan melalui keterangan dokumentar Laporan polis Plaintif yang ditandakan sebagai P-3 .

Rujuk Ikatan Dokumen Plaintif mukasurat 3 - [P –3]





26. SP-1 dan SP-2 pula mengakui bahawa sering Plaintif menceritakan keadaaan Plaintif yang sering dipukul oleh Defendan. SP-1 dan SP-2 ada melihat kecederaan yang dialami oleh Plaintif dan SP-2 sering berjumpa dan menasihati Defendan apabila berlaku pergaduhan antara Plaintif dan Defendan.

27. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi .


Isu Keempat : Wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan .

28. Plaintif di dalam keterangannya mendakwa wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif dan Defendan


a. Perkahwinan di antara Plaintif dan Defendan sering berlaku pertelingkahan dan pergaduhan. Defendan sering gagal memberikan nafkah zahir serta memenuhi keperluan dalam rumahtangga. Defendan juga sering memukul dan menyakiti Plaintif dan menjadikan hidup Plaintif menderita. Defendan juga sering memaki hamun serta sering berlaku pergaduhan di antara Plaintif dan Defendan sehingga rumah tangga tidak boleh diselamatkan lagi.

29. Elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif melalui keterangan dan disokong oleh dua orang saksi .

30. Plaintif juga tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah yang menghilangkan kelayakannya untuk mendapat nafkah zahir daripada Defendan. Ini disokong oleh keterangan kesemua saksi-saksi Plaintif .


31. Jadi, jelaslah bahawa persoalan sama ada benar Defendan gagal mengadakan peruntukan nafkah zahir selama tempoh tiga (3) bulan dan Isu Kedua : Defendan lazim menyakiti atau menjadikan hidup Plaintif menderita serta wujudnya perbalahan (Shiqaq) yang berpanjangan di antara Plaintif. Dengan demikian jelas terjawab dengan dokumen serta keterangan Plaintif dan saksi-saksinya.


32. Kami menghujahkan bahawa keterangan SP-1 dan SP-2 merupakan syahadah yang mencapai tahap yakin sebagaimana dalam kaedah pembuktian Islam. Saksi-saksi ini melihat dan menyaksikan sendiri keadaan Plaintif.

33. Kedua-dua saksi telah memberikan keterangan terhadap Defendan bagi membuktikan pengsabitan terhadap alasan tersebut .

34. Tidak ada percanggahan fakta antara dakwaan Plaintif dan keterangan kedua-dua saksi ini. Dan sewajarnya Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi ini sebagai syahadah dan bayyinah.

35. Keterangan Plaintif serta keterangan saksi-saksi Plaintif membuktikan kepada Mahkamah bahawa Defendan telah gagal memberi nafkah .



36. KESIMPULAN

1. Hukum Syara’ dan Undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan suami isteri berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah di sisi Hukum Syara’.



2. Antara alasannya ialah apabila suami tidak memberi nafkah yang wajib kepada isteri untuk suatu tempoh tertentu.

3. Rasulullah S.A.W ada bersabda dalam kitab Subul al-Salam juzuk 4, bab talaq, sabdanya:
“ Berkenaan seorang lelaki yang tidak mengadakan peruntukan nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan di antara keduanya.”

4. Fahaman daripada hadith tersebut bahawa seorang lelaki yang tidak memperuntukkan nafkah sama ada disebabkan kesukaran atau dengan sebab keingkarannya, bolehlah dipisahkan.

5. Manakala di dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa, Yang Arif Hakim Abu Bakar ada mengatakan:-
“Tidak memberi nafkah atau tidak mengadakan nafkah kepada isteri boleh menjadi kesukaran dan kesusahan dalam meneruskan hidup kerana nafkah adalah keperluan asas untuk hidup di mana mengikut Qawaid al-Fiqhiyyah bermaksud:

“Kemudaratan diharuskan (dibolehkan) perkara yang ditegah. Ini bermaksud cerai adalah perkara yang sangat dibenci oleh Allah tetapi dihalalkan dengan tujuan menolak perkara yang lebih berat dengan tiada dapat dilaksanakan kewajipan dan tugas suami isteri dalam rumahtangga.”

6. Di dalam kes Hairun bt. Mohd. Sharif lwn Omar bin Mohd. Noor, Jawatankuasa Rayuan menyatakan bahawa:-
“Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana dianiaya atau darar ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dirar terhadap tubuh badan sahaja malahan lebih luas dari itu........”.

7. Begitu juga di dalam kes Hasnah binti Omar lwn Zaabar bin Mohd Amin, Yang Arif Hakim Dato’ Ismail menyatakan pembubaran perkahwinan secara fasakh adalah dibolehkan:



“ Bahawa suami menganiaya isteri atau antara lain lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupan isteri itu menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya suami. Selain dari itu Mahkamah telah diberi kuasa memerintahkan fasakh berdasarkan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi pembubaran itu.”

8. Dakwaan Plaintif berhubung Defendan tidak memberi nafkah selama tempoh melebihi tiga (3) bulan serta Defendan lazim menyakiti tubuh badan (fizikal dan mental) Plaintif serta wujudnya perbalahan di antara Plaintif dan Defendan dapat dibuktikan. Defendan sepanjang perbicaraan tidak hadir untuk menafikan tuntutan Plaintif tersebut.

9. Defendan telah diberi hak untuk membela diri dan membuat pembelaan tetapi Defendan tidak menggunakan hak yang diberi oleh undang-undang dan Hukum Syara’. Jadi Mahkamah boleh memutuskan walaupun tanpa kehadiran Defendan.

10. Ini bertepatan dengan Seksyen 121 (1) (b) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984 memperuntukkan:-
S.121 (1) Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran – (b) Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya;


11. Merujuk kepada peruntukan di bawah 121(2) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah persekutuan ) 1984 menjelaskan bahawa”

“Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apap-apa penghakiman mengenai tuntutan Plaintif di bawah perenggan (1) (B) atau tuntutan balas Defendan di bawah perengan (1) (c) mengarahkan Plaintif atau Defendan, mengikut mana-mana yang berkenaan mengangkat sumpah istizhar”. Dalam kes ini Mahkamah berdasarkan kepada peruntukan di bawah seksyen ini wajar mengarahkan Plaintif untuk melakukan Yamin istizhar.



12. Daripada keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan saksi-saksi Plaintif, dokumen-dokumen yang dikemukakan, dan prosedur-prosedur yang telah dijalankan dan disempurnakan, jelas membuktikan bahawa berlaku perkara-perkara sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif. Dan Mahkamah boleh menfasakhkan pernikahan antara Plaintif dan Defendan.

13. Maka berdasarkan kepada keterangan Plaintif, serta keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen yang dikemukakan, maka sayugialah Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif sebagaimana yang dipohon.


Read More......

Sunday, May 31, 2009

Assalamualaikum

Selamat datang ke blog saya. minta maaf atas kesulitan dalam proses penambah baikkan, insya Allah akan bermula bulan hadapan.
Read More......

Template by:
Free Blog Templates